Tahun ini hampir tamat, walaupun terus-terang aku akui, aku belum cukup sempat untuk melangsaikan beberapa perkara penting, yang perlu diselesaikan dalam tahun ini. Ia bukanlah azam aku untuk tahun ini, tetapi cuma aku rasakan, perlaksaannya amat bersesuaian untuk 2008.
Lupakan perihal itu. Tidak penting buat kamu pun.
Apa yang lebih penting sekarang bagi aku dan mungkin juga kamu, tentang bentuk masalah yang dihadapi seharian dan cara kita berusaha untuk mengubati/menghindari/mengatasi masalah-masalah tersebut. Apa yang aku mampu rumuskan, berkaitan dengan aku iaitu, masalah yang dihadapi, bertambah rumit dan memerlukan jalan penyelesaian bercorak pemikiran analitikal, setiap tahun, seolah-olah masalah tersebut adalah satu bentuk organik berevolusi. Semakin meningkat tahun yang aku lalui, semakin rumit masalah yang muncul, dalam bentuk dan situasi yang pelbagai. Mengapa ini tetap berlaku? Namun sekiranya aku mempersoalkan kewujudan ia, seolah-olah aku menidakkan realiti. Tetapi aku juga seorang yang gemar berimaginasi, kerana dengan berimaginasi, aku berupaya mencipta satu ruang legar positif lagi kuat untuk aku membina kelakuan/kehidupan yang tidak termakbul di dalam realiti.
Dan aku biarkan kedua-duanya bergerak, pada masa yang sepatutnya.
Berbalik kepada topik masalah, aku juga sebenarnya tidak kisah untuk berhadapan dengan masalah yang pelbagai, yang akhirnya akan menjadikan aku lebih terdedah kepada pengalaman/pemikiran/pemahaman yang lebih matang dan bijaksana. Aku mungkin pada mulanya akan membuat kesilapan dalam membuat keputusan, tetapi bukankah itu normal bagi kita? Kesan dari keputusan aku jua, membuatkan hidup aku adakalanya serba molek, dan adakalanya serba tak kena. Normal juga bukan?
Masalah-masalah yang aku telah cuba untuk selesaikan sewaktu dua-tiga tahun lepas atau tahun lepas yang masih belum selesai, aku biarkannya mendampingi aku ke tahun yang seterusnya kerana aku yakin, pada masa dan tempat yang sesuai, ia akan selesai jua. Tidak perlu untuk aku terburu-buru atau memaksa diri ke tahap yang radikal kerana ia mampu membinasakan aku kelak dalam bentuk yang tersendiri.
Aku cuma sekadar mempertahankan apa yang sepatutnya.
20081230
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
kata kunci untuk si polan; "LET GO". payah.
Post a Comment