20110312

Matikan mimpimu yang tumpul.



Semenjak kecil, atau sewaktu kita belum mampu beratur sendiri membeli tiket wayang untuk menonton filem tanpa pengawasan orang dewasa, kita telah diasah untuk menerima hakikat tentang kehidupan dan keadilan yang bergerak secara teratur. Periksalah memori kamu kembali bagaimana pesan nenek kamu sewaktu sedang melipat kain tatkala kamu sedang enak membuli adikmu yang terang-terang sudah mengalah dan menangis merayu dilepaskan. Pesanan yang ringkas, namun berkesan hingga mampu membuatkan kamu berhenti daripada menjadikan adikmu merasa sudah tiada gunanya lagi dia bersaudara denganmu.

Masih kamu ingat pesanan sebegitu? Atau kamu lupa?

Siapa yang berpesan, itu bukan persoalannya.

Terus-terang aku mengharapkan yang kamu lupa apa yang telah dipesan. Untuk apa sebenarnya kita diasah berfikiran sedemikian rupa jika wujud, secara tersembunyi perasaan untuk meneruskan sesuatu yang diyakini memberi satu keputusan kepada diri. Jika kita telah diberikan peluang agar berjuang di dalam kehidupan ini, mengapa perlu kita dibisikkan dengan kata-kata yang sekiranya tiada ditapis secara khusus, mampu menjadikan kamu seorang yang sangat berdalih terhadap kehidupan ini sendiri?

Seorang yang waras tidak akan menyuruh kamu berhenti membuli adikmu, kerana kamu sedang melalui peringkat di mana setiap apa yang dikerjakan, perlu ada keputusannya. Berhak kamu menghabiskan apa yang dimulakan kerana itu adalah perilaku asas setiap benda bernyawa tetapi seorang yang waras seharusnya akan memberi galakan kepada adikmu supaya berhenti menangis merayu, cuba sedaya upaya bangun dan bersaing denganmu tanpa perlu digusarkan kebarangkalian apa yang bakal berlaku. Seorang yang waras berhak memberi peluang kepada kedua-dua insan itu untuk mencuba sesuatu yang bakal menjadi asas kepada perilaku mereka pada masa hadapan. Mengapa perlu disekat peluang mereka? Menidakkan hak mereka untuk berusaha ketika kecil lagi akan mampu membunuh perjuangan mereka secara perlahan lagi zalim.

Kehidupan memerlukan perilaku secara timbal balik. Ketika kamu nyaman, haruslah jangan ditempelak kewujudan potensi untuk kamu diusik kesulitan.
Senario yang diluncurkan aku di atas hanyalah antara secebis kisah hidup yang sangat tipis rumitnya untuk dianalisis kita, yang seharusnya mendahagakan peringatan.

Ludahlah aku jika kamu menentang bahawasanya Keadilan hanya wujud semata-mata jika kita berusaha. Keadilan mampu wujud dalam pelbagai bentuk yang kadangkala tidak tercapai akal untuk merentasi kesahihannya asalkan kita sanggup berusaha. Tiada dipersetujui yakni Tuhan untuk menabur keadilan selagi kita hanya berserah tanpa usaha.


Aku perlu berhenti di sini. Tidak adil bagi kamu sekiranya aku sibuk meluncurkan peringatan sedangkan kamu masih terkial dengan masa silammu.

Bangunlah, dan berhenti berdalih mahupun menangis merayu.

No comments:

eXTReMe Tracker