20071228

Siren Si Pemandu Teksi

21hb Disember 2007, 5 petang, Jalan Pudu.

---------------------------------------------------------

Sejak akhir ini, skop kerja aku dibesarkan kepada tugasan yang aku rasakan ada sedikit tidak kena pada waktunya. Menyelesaikan dua tugasan yang berbeza bidang pada tempoh yang hampir sama adalah sangat merumitkan. Aku tidak berniat merungut tentang beban yang di hadapi, halalkan sahaja kerana pengalamannya sangat bernilai. Perkara yang aku kesalkan adalah, aku perlu berada di dua tempat berlainan demi untuk menyiapkan keseluruhan tugasan. Membuat kerja yang sepatutnya di lakukan oleh Purchasing Officer adalah bukan tugasan yang digemari oleh Jabatan aku, apabila ianya melibatkan urusan dengan wang tunai.

Amat bahaya, seolah-olah terpaksa bertarung dengan naga, tetapi hanya bersenjatakan tapak tangan dan ketajaman akal. Segala urusniaga yang berlaku akan diselidiki dengan teliti demi memastikan tiada berlaku sessi pecah amanah dikalangan pekerja.

Keluhan perihal kerja selesai.

Ketika aku bersama dengan dua rakan sekerja di dalam van syarikat yang sedang khusyuk terperangkap di dalam kesesakan lalulintas di Jalan Pudu, tiba-tiba siren ambulan secara mendadak menjerit meminta laluan. Situasi yang sering berlaku ketika kesesakan jalan raya, tetapi kali ini, agak unik, memerlukan jalan penyelesaian yang agak spontan. Jalan yang padat dengan kenderaan, di tambah dengan kepandaian pemandu-pemandu bodoh yang meletak kenderaan di bahu jalan adalah merupakan bonus kepada situasi ini. Secara logik, bagaimana mahu memberikan laluan di dalam lorong yang sempit. Aku menurunkan tingkap untuk melihat situasi ambulan itu, yang tersekat di belakang sebuah bas. Sebuah teksi berada di hadapan bas.

Aku menunggu sinis kelibat polis trafik atau polis peronda untuk datang mengawal keadaan. Keadaan masih sama untuk beberapa minit. Tiada laluan untuk diberikan. Hairan memandangkan sistem lalulintas terutamanya di Kuala Lumpur dipantau melalui kamera, tetapi seolah tiada sebarang pihak yang mengetahui misi sukar ambulan tersebut.
Melihatkan situasi semakin buntu penyelesaian, pemandu teksi yang berada di hadapan bas keluar, cuba untuk memberikan penyelesaian kepada ambulan, dan aku kagum dengan keupayaannya mengarah dan mengawal kenderaan-kenderaan supaya memberi laluan. Dia meninggalkan teksi yang dipenuhi penumpang, bergerak sejauh 100meter semata-mata meminta kenderaan membuka laluan. Walaupun tidak mengenali aku, dia dengan selamba meminta aku memandu teksinya agar tidak menghalang laluan ambulan. Satu gerak kerja yang cukup ganjil oleh seorang pemandu teksi, untuk membenarkan orang asing memandu teksinya. Aku dan rakanku terpingga.

Jalan penyelesaian dicapai melalui kesedaran seorang pemandu teksi. Aku berbangga dengan kesedarannya, dan sepanjang perjalanan pulang aku tersenyum mengenangkan betapa bernasib baiknya kita masih dikelilingi insan yang tampan tanggungjawab.

Mujurlah siren itu bukannya datang dari polis trafik yang mengiringi kerabat diraja.

No comments:

eXTReMe Tracker