Sekiranya kita diberi satu peluang untuk kembali ke masa lampau untuk memperbetulkan apa-apa sahaja yang dirasakan salah, kurang menarik dan silap di dalam kehidupan kita... aku mengagak hampir kesemua pasti akan terlonjak girang untuk merebut peluang tersebut.
Mujurlah Tuhan tidak sebodoh itu untuk memberikan sewenang-wenangnya kenikmatan itu kepada kita. Jikalau iya diberikan, tak tercapai akal aku untuk membayangkan perilaku manusia dan keadaan dunia. Adakah keamanan dan kesejahteraan mendominasi kehidupan atau kesempurnaan kehendak diri manusia yang bakal menerajui akal pemikiran dan gerak laku masing-masing.
Hmmm, ngeri!
Ini yang membuatkan aku tidak berminat langsung untuk menyambut tahun baru. Manusia mencipta sendiri peluang yang tidak diberikan oleh Tuhan itu, dan menamakannya azam. Dengan munculnya tahun baru setelah cukup 365hari, manusia telah diajar untuk menyediakan satu azam baru, dan kriteria azam itu seboleh-bolehnya adalah untuk memperbaiki apa yang kurang sesuai, tidak enak pada tahun sebelumnya. Sangat menjengkelkan sekiranya azam itu hanya datang ketika kita hampir sampai ke penghujung tahun. Lebih menjengkelkan sekiranya azam itu dihebahkan kepada org lain, seolah-olah individu tersebut ingin membuktikan bahawa dia telah berjaya mengenalpasti suatu yang tidak enak, kurang sesuai pada sekitar hidup dan gerak kerja nya. Minta maaf ya, ini bukan peraduan mencari benda yang hilang seperti di dalam surat khabar.
Dengan tidak meletakkan azam pada sesuatu faktor, bidang atau pusat gerak kerja, anda sebenarnya berpotensi untuk menaiktaraf kesemua perkara yang bersangkut paut pada diri masing-masing tanpa ada unsur pilih kasih. Dengan tidak menghebahkan azam itu, anda mampu mengawal peningkatan taraf dengan lebih seimbang.
Mujurlah kita tidak hanya bermimpi pada tahun baru sahaja. Bayangkan sekiranya setiap malam ketika tidur, kita akan berazam, ianya amat ngeri.
Catatan ini adalah merupakan gerak kerja azam aku untuk tidak menyambut perayaan tahun baru.
Hmmm..
20080102
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment