20061219

Kembara Jalan

Ini mungkin agak biasa dan membosankan bagi sesetengah pihak, tetapi ia adalah merupakan satu rupabentuk ketagihan yang aku alami ketika ini. Menonton dan menghabiskan drama bersiri ‘OC’. Jalan cerita yang ringkas dan mudah, tidak perlu penumpuan terhadap plot yang diluarjangkaan(terutamanya didalam hubungan percintaan! haha), lawak-lawak sarcastic yang tidak berat sebelah dan siri ini mempunyai lokasi yang menarik(pantai mungkin antara faktornya). Amat menarik.

Dan aku juga seperti yang lain, akan memaki hamun apabila terjadinya sesuatu konflik di dalam perhubungan watak-watak siri ini, dan mempersoalkan mengapa perlunya terjadi keputusan yang sedemikian(seseorang terpaksa berundur atau melepaskannya), dan mengeluh apabila hubungan yang tegang dan tidak berjalan lancar akan berakhir dengan peluang kedua.Aku mengeluh(mungkin juga anda) kerana peluang kedua juga akan berahir dengan sejarah yang sama. Pengulangan.


Kini sedang aku tekun utk menghabiskan dvd musim ketiga, aku melihat dan mencuba mengadaptasi tentang signifikannya proses pengulangan ini, yang merupakan alur kepada kejayaan/kenteteraman/keharmonian/kematangan hidup kita. Sebelum aku mencatat tentang apa yang dapat kita perolehi dari proses pengulangan ini, aku lebih enak menghurai mengapa proses pengulangan ini berlaku, dan terus berlaku.


Hidup ini berjalan tanpa sekatan, dan sekuat mana kita cuba menghentikan atau memperlahankannya, ia tetap tidak akan berlaku. Keputusan-keputusan yang pernah dan akan kita buat/pilih tidak selalunya tepat dan munasabah. Kadangkala, ianya samarata, dan kadangkala tidak semua lega dengannya.


Mengapa?


Kerana keputusan-keputusan tersebut dibuat dan ditangani pada ketika peringkat umur yang tidak sesuai. Kematangan setiap manusia terbukti berbeza dan reaksi terhadap keputusan juga begitu.Berbeza.

Adakalanya, tidak semua keputusan itu mudah diterima oleh kita, pihak kedua atau ketiga. Akan tetapi kita harus percaya bahawa akan muncul lagi ‘pengulangan ketika’ yang memerlukan kita untuk membuat keputusan, dan cubalah untuk tidak membuat kesilapan yang sama dan memperbaikinya. HARUS diingatkan, pengulangan ini bukan hanya wujud untuk hubungan intim sahaja, tetapi untuk kesemua perihal-perihal yang berkaitan dengan/dalam hidup manusia.

Selagi kita masih belum mampu membuat keputusan yang berbaloi/bernilai, selagi itu kita akan mempunyai pengulangan, dan seperti biasa, tempoh kitaran pengulangan bagi setiap manusia berbeza.


Selama ini, ada dua perkara yang aku cukup bersyukur tentangnya, iaitu: dilahirkan ke dunia dan mengalami dunia dibawah asuhan pengalaman ibu-bapaku, dan kini satu lagi perkara yang aku bersyukur untuk menikmatinya. Pengulangan. Aku pasti, seluruh manusia di dunia ini tidak patut dinafikan daripada menikmatinya. Ini adalah anugerah kepada kita, manusia yang penuh dengan kesilapan.


Pengulangan akan terus berlaku, dan kematangan kita akan menitinya dengan sewajarnya.


Aku tidak akan mencatat tentang apa yang dapat kita perolehi dari proses pengulangan ini, kerana….


INI HANYALAH DOKUMENTASI PROSES HIDUP, BUKAN BUKU JAWAPAN SOALAN PEPERIKSAAN.



Untuk seketika, ianya selesai disini…

eXTReMe Tracker