20080721

Soalan Permasalahan (Jawab yang Berkenaan)

*Adakah kamu seorang yang cepat melatah?

*Adakah kamu seorang yang menuding jari apabila sesuatu musibah menimpa?

*Adakah kamu seorang yang merasakan diri teraniaya terhadap sesuatu akibat daripada keputusan kamu sendiri?

*Adakah kamu seorang yang berhadapan dengan tekanan yang diwujudkan oleh orang sekelilingmu?

*Adakah kamu seorang yang hanya meminta maaf dan mengaku kesalahanmu hanya apabila kamu ketandusan akal untuk mengelakkan diri?

*Adakah kamu seorang yang penuh dengan alasan?

*Adakah kamu seorang yang merasakan berlakunya perubahan pada diri dan perilaku adalah disebabkan oleh orang sekeliling dan bukannya atas kerelaan?



Tidak perlu termenung menilai diri sendiri.Tidak mungkin wujud individu yang mempunyai ciri-ciri di atas.


Heh, mana mungkin.

20080720

Rombakan


Proses perubahan dan kehendak/keberanian untuk berubah adalah antara perkara yang sukar untuk diterima oleh individu yang sudah sebati dengan keadaan pada diri dan sekeliling. Situasi ini akan lebih rumit akibat individu mempunyai perspektif kesan-kesan buruk sekiranya proses perubahan berlaku, seterusnya menjadikan individu mengambil langkah drastik(tanpa memikirkan kemungkinan) mencegah dari wujudnya proses perubahan dan kehendak untuk berubah. Langkah drastik yang mampu merosakkan keharmonian atau merugikan masa depan diri.

Ketelusan nasihat dan perspektif pihak luar kebanyakkannya jarang untuk diterima walaupun tampak sahih. Keegoan sememangnya akan menjadi penghadang terhadap sebarang kuasa luar yang boleh menjana kepada perubahan. Faktor-faktor lain juga mampu menjadi sebahagian dari penghadang. Kamu pun tentu tahu.


Lihat sahaja negara kita untuk beberapa minggu yang lepas dan beberapa minggu yang mendatang.


Lihat sahaja sekeliling.


Lihat sahaja diri mereka.


Lihat sahaja diri kamu, terutamanya.

20080710

Gerenti Tenang



Kadang-kala, kita harus berusaha pada tahap yang tertinggi, untuk merealisasikan kehendak orang yang tersayang.

Semoga tercapai segala usaha.

20080709

Gadis 1000 tahun

Semalam, ketika aku sedang malas menyiapkan kerja, dengan dibantu dua orang rakan, salah seorang daripada mereka mula bercerita tentang gadis idamannya. Topik ini boleh dianggap topik perbualan kegemarannya, kerana setiap hari pasti akan ada cerita tentangnya. Aku hanya melayan mendengar dan sesekali mencelah membangkang atau memerli dia atas ciri-ciri gadis yang diidamkan. Pelbagai kriteria yang ditetapkan, sehinggakan aku merasa sampai ke tua pun belum tentu dia akan bersua dengan gadis idaman tersebut.

Di dalam perbualannya semalam, dia ada menyentuh tentang satu rangkap ayat yang akan digunakan terhadap gadis yang ingin didekati( dengan lebih rapat dan mesra). Aku bertanyakan tentang ayat tersebut, dan membuat mimik muka ingin tahu. Mereka tahu aku amat jahil dalam bab menunjukkan minat, mendekati, memulakan langkah pertama terhadap gadis. Aku lebih selesa sekiranya gadis tersebut membuat langkah yang pertama. Macam aku pula si gadis. Heh.
Apa boleh buat, aku dibesarkan di sekolah lelaki. Rakan aku terus berdiri di depan aku dan seorang lagi rakan, meninggalkan kerjanya, dengan penuh reaksi berkata,


"Aku ingin hidup seribu tahun, aku juga mahu engkau juga hidup seribu tahun agar dapat bersamaku, cuma satu yang aku pinta agar hidupku dikurangkan sehari kerana aku tidak rela untuk melihat engkau menghembuskan nafas yang terakhir"


Aku pula menjawab,


"Owh, kalau macam tu baguslah, perempuan tu pasti lega sebab masih mampu untuk berlaku curang dengan kau walaupun sehari"



Dia terus duduk sambung buat kerja.

20080706

Selimutkan dirimu, wahai rakan malam

Bagaimanakah rasa, sekiranya kita diberikan peluang dan cara untuk bertukar-tukar mimpi sesama sendiri. Mimpi-mimpi itu tidak boleh dicipta mengikut citarasa tetapi mimpi semulajadi yang telah berlaku, boleh dikongsi dan dialami oleh pihak yang lain. Seolah-olah berada di kedai sewa dvd untuk ditonton pada hujung minggu.

Menariknya, kita dapat merasai sesuatu mimpi milik individu lain dalam konteksnya. Sebagai contoh, walaupun terdapat 2 individu yang bermimpikan peristiwa yang sama, namun karektor, ekspresi, nilai mimpi itu masih subjektif dan pasti berbeza, kerana mimpi yang wujud adalah sebahagian daripada pengalaman dan pemahaman seseorang. Menjadi pihak kedua yang menikmati mimpi itu juga akan mewujudkan respon yang baru/berbeza berbanding empunya mimpi.
Mungkin ada individu yang lebih gemar kepada idea menerokai akal pihak lain berbanding merasai mimpi, tetapi melalui mimpi, kita tidak dapat mengawal keadaan yang berlaku kerana ianya di bawah paras sedar dan ini lebih tulen.


Aku ingin merasai kepedihan, kepiluan, kesunyian, keriangan, kegemilangan kamu.

Indah rasanya, mungkin.

20080701

Menara

Pengembaraan seorang penuntut seni di sesebuah institusi pengajian(awam) terutamanya pasti akan melalui suatu keadaan yang memerlukan individu itu berhadapan dengan reaksi/respon sekeliling terhadapnya. Negatif dan kurang enak selalunya. Jika dinilai reaksi ketika di institusi dan reaksi dunia luar, sebenarnya sama sahaja, namun polisi penerimaan dunia luar kebelakangan ini yang bersifat lebih mesra dan melulu berjaya menghasilkan rimbunan pengiat seni segera dari pelbagai arena. Heh.

Agak hairan memandangkan golongan yang berada di dalam institusi pengajian adalah mereka yang sedang melengkap/memahir/menjanakan diri secara sistematik dan ilmiah. Tetapi mengapa mentaliti mereka jauh berbeza dari yang sepatutnya. Tidak perlu diterangkan lebih lanjut, kamu tentu mengerti.

Pernah sekali, ketika sedang berjalan di kawasan yang penuh dengan manusia berpelajaran ini, rakan aku sempat bertanya. Dan aku menjawab.


*"Kenapa benda-benda camnie mesti terkena pada budak-budak belajar seni ehh?"


*"Sebab mereka ini masih tidak dapat melihat 'kecantikan' kita. Ada yang tak mahu melihat langsung"


*"Habis tu, nak buat macamana?"


*"Apalagi, janganlah kedekut nak tunjuk..."



Aku nak jadi seorang yang pemurah, senantiasa.



p/s: Hey kamu, entri ini bukan respon terhadap perbualan kita tempoh hari ya, heh.

eXTReMe Tracker