20071228

Siren Si Pemandu Teksi

21hb Disember 2007, 5 petang, Jalan Pudu.

---------------------------------------------------------

Sejak akhir ini, skop kerja aku dibesarkan kepada tugasan yang aku rasakan ada sedikit tidak kena pada waktunya. Menyelesaikan dua tugasan yang berbeza bidang pada tempoh yang hampir sama adalah sangat merumitkan. Aku tidak berniat merungut tentang beban yang di hadapi, halalkan sahaja kerana pengalamannya sangat bernilai. Perkara yang aku kesalkan adalah, aku perlu berada di dua tempat berlainan demi untuk menyiapkan keseluruhan tugasan. Membuat kerja yang sepatutnya di lakukan oleh Purchasing Officer adalah bukan tugasan yang digemari oleh Jabatan aku, apabila ianya melibatkan urusan dengan wang tunai.

Amat bahaya, seolah-olah terpaksa bertarung dengan naga, tetapi hanya bersenjatakan tapak tangan dan ketajaman akal. Segala urusniaga yang berlaku akan diselidiki dengan teliti demi memastikan tiada berlaku sessi pecah amanah dikalangan pekerja.

Keluhan perihal kerja selesai.

Ketika aku bersama dengan dua rakan sekerja di dalam van syarikat yang sedang khusyuk terperangkap di dalam kesesakan lalulintas di Jalan Pudu, tiba-tiba siren ambulan secara mendadak menjerit meminta laluan. Situasi yang sering berlaku ketika kesesakan jalan raya, tetapi kali ini, agak unik, memerlukan jalan penyelesaian yang agak spontan. Jalan yang padat dengan kenderaan, di tambah dengan kepandaian pemandu-pemandu bodoh yang meletak kenderaan di bahu jalan adalah merupakan bonus kepada situasi ini. Secara logik, bagaimana mahu memberikan laluan di dalam lorong yang sempit. Aku menurunkan tingkap untuk melihat situasi ambulan itu, yang tersekat di belakang sebuah bas. Sebuah teksi berada di hadapan bas.

Aku menunggu sinis kelibat polis trafik atau polis peronda untuk datang mengawal keadaan. Keadaan masih sama untuk beberapa minit. Tiada laluan untuk diberikan. Hairan memandangkan sistem lalulintas terutamanya di Kuala Lumpur dipantau melalui kamera, tetapi seolah tiada sebarang pihak yang mengetahui misi sukar ambulan tersebut.
Melihatkan situasi semakin buntu penyelesaian, pemandu teksi yang berada di hadapan bas keluar, cuba untuk memberikan penyelesaian kepada ambulan, dan aku kagum dengan keupayaannya mengarah dan mengawal kenderaan-kenderaan supaya memberi laluan. Dia meninggalkan teksi yang dipenuhi penumpang, bergerak sejauh 100meter semata-mata meminta kenderaan membuka laluan. Walaupun tidak mengenali aku, dia dengan selamba meminta aku memandu teksinya agar tidak menghalang laluan ambulan. Satu gerak kerja yang cukup ganjil oleh seorang pemandu teksi, untuk membenarkan orang asing memandu teksinya. Aku dan rakanku terpingga.

Jalan penyelesaian dicapai melalui kesedaran seorang pemandu teksi. Aku berbangga dengan kesedarannya, dan sepanjang perjalanan pulang aku tersenyum mengenangkan betapa bernasib baiknya kita masih dikelilingi insan yang tampan tanggungjawab.

Mujurlah siren itu bukannya datang dari polis trafik yang mengiringi kerabat diraja.

Percaya itu Putih, Percaya itu Hitam

Seringkali berlaku konflik atau ketegangan kepada proses hidup manusia apabila tiba ketika yang memerlukan individu terbabit membuat sesuatu perubahan, yang dirasakan kurang selesa dan sesuai dengan sistem kehendak diri. Konflik yang timbul adalah merupakan pertembungan antara kehendak untuk menentang dan kehendak untuk mengakui perubahan.

Harus diakui, kehendak/keupayaan untuk menentang adalah lebih mudah untuk disalurkan/diluahkan/dikerjakan berbanding untuk mengakui. Ini kerana, rangsangan-rangsangan untuk menentang adalah lebih mudah untuk dicapai dan disalurkan kepada akal. Rangsangan ini wujud dari pemerhatian, pemahaman dan pengalaman yang termampu diperolehi dan diproses berdasarkan tahap keupayaan manusia. Keadaan ini amat berbeza sekiranya individu terbabit memerlukan rangsangan untuk mengakui, kerana ia memerlukan keupayaan yang berkali ganda dari aspek pemerhatian, pemahaman dan pengalaman individu terbabit, dan memerlukan rangsangan secara imaginatif mahupun rasional oleh individu, dan ternyata proses ini adalah amat sukar.

Dengan menentang perubahan, individu berupaya mengekalkan sistem kehendak diri yang sudah kukuh di dalam akal dan tidak perlu mengubah bentuk perilaku yang dikerjakan selama ini. Perubahan yang ditentang kebiasaannya diberikan alasan bahawa sekiranya diakui, maka sistem kehendak diri tidak lagi mengikut keselesaan, tetapi berubah menjadi satu sistem kehendak diri yang palsu.

Apabila mengakui perubahan, individu telah membuat satu tindakbalas yang besar dan berani. Namun apabila tiba pada tahap perlaksaanan,perubahan yang diakui akan dipersoalkan samaada ianya adalah secara mutlak datang dari sistem kehendak diri ataupun semata-mata kerana wujudnya paksaan terhadap perlaksaanan atau untuk menyenangkan pihak lain dan sebagainya. Pada tahap ini, perubahan yang diakui juga akan dianggap sebagai sistem kehendak diri yang palsu.

Oleh itu, jalankan tindakbalas anda terhadap perubahan yang dihadapi dengan hati yang lapang dan dada yang tidak tersekat.

Tiada siapa akan peduli. Jangan digusarkan .

Ini adalah proses hidup masing-masing.

20071120

zon bebas had laju

Sekiranya anda seorang pemandu spt aku,
anggukan tanda setuju adalah yang aku harapkan..
sgt mengharap..


*Kes Pertama
Keadaan trafik di Federal dari arah Kuala Lumpur menuju ke Bangsar dsb. Sebelum anda sampai di susur masuk ke cheras dan jln kelang lama, anda perlu bersusah payah menempuh kesesakan beratus-ratus meter disebabkan oleh.....ermm oleh apa?

OLEH KEPANDAIAN PEMANDU-PEMANDU BAS YANG MEMBERHENTIKAN BAS SESUKA HATI. Wahai kaum pemandu bas sekalian, cubalah memandu secara tampan akal, bukan tampan perasaan. Mengapa anda perlu membuat kami mengasihani ketidakupayaan berfikir anda, wahai pemandu-pemandu bas.


*Kes Kedua
Pemandu-pemandu(lihat: wanita berkarier yang tiada handsfree yang sedang bergayut, abg yang baru putus tunang, pasangan kekasih yang memasuki minggu kedua bercinta, penghirup udara petang Kuala Lumpur dgn menaiki kereta mewah)yang gemar memasuki lorong kanan setelah terperangkap didalam kesesakan, namun memandu secara tenteram dan harmoni tidak melebihi 60km sejam.

Apa yang cuba para pemandu ini dibuktikan??
Mengapa perlu membiarkan pemandu di belakang anda bersenam kedua-dua belah kakinya setiap saat disebabkan kelajuan anda????

Tolonglah sedar bahawa lorong paling kanan bukanlah lorong yang paling mulia atau lorong untuk org yang berakhlak/bermoral, dan lorong kiri bukanlah lorong ke neraka atau lorong bagi pengikut syaitan.




Mengapalah hobi aku memandu kereta.......

20070921

plastik

Aku, sehingga kini masih tertanya-tanya,

Bagaimana kita, iaitu manusia yang berakal dan beremosi, berunding dengan kenangan.

Kenangan yang terbina secara manis mahupun pahit.

Setiap individu berunding dengan cara tersendiri, dalam tempoh yang berbeza.

Kepada yang telah berjaya, helaan nafas lega mungkin satu-satunya perilaku untuk mengambarkan penat-lelah anda.


Yakin dengan kejayaan anda??


Bagaimana sekiranya kenangan itu secara spontannya muncul, pada ketika kita di dalam keadaan tenteram/tidak bersedia. Ianya muncul apabila ada unsur luar( rakan, keluarga, rakan pejabat, dan sebagainya) membuat sesuatu yang seakan-akan seiras dengan kenangan yang telah berjaya kita surutkan.


Bahagian ini yang membuat aku tertanya-tanya..


Apa dan bagaimana tindakbalas anda terhadapnya…….??

Serta merta melayani kenangan tersebut sekerasnya?

Cuba menghadang kenangan meluas dari sempadannya?

Atau

Berpura-pura………………..????


Berpura-pura terhadap pasca kenangan dengan menyatakan secara terbuka bahawa anda tidak terjejas, fizikal mahupun emosi. SEBALIKNYA, di dalam fakulti perasaan anda, peristiwa tersebut benar-benar menjatuhkan blok batu kenangan lampau. Ini membuatkan anda sayu/hiba/sedih/pilu.


Merasa tersekat?


Tersekat samada untuk menghargai peristiwa yang dijana oleh unsur baru ATAU menjarakkan diri dari terlibat dengan peristiwa itu.


Mujurlah hanya manusia yang berpeluang merasai fenomena ini.

20070920

selamatkan bulan berpuasa

kelihatan cukup panjang masa yang telah aku ambil di dalam merehatkan ruang ini.
bukannya tiada masa, cuma tiada daya untuk melangkah.
harapan, ucapan ini adalah pembuka ruang kembali.

"selamatkan bulan berpuasa anda"
eXTReMe Tracker