20071228

Siren Si Pemandu Teksi

21hb Disember 2007, 5 petang, Jalan Pudu.

---------------------------------------------------------

Sejak akhir ini, skop kerja aku dibesarkan kepada tugasan yang aku rasakan ada sedikit tidak kena pada waktunya. Menyelesaikan dua tugasan yang berbeza bidang pada tempoh yang hampir sama adalah sangat merumitkan. Aku tidak berniat merungut tentang beban yang di hadapi, halalkan sahaja kerana pengalamannya sangat bernilai. Perkara yang aku kesalkan adalah, aku perlu berada di dua tempat berlainan demi untuk menyiapkan keseluruhan tugasan. Membuat kerja yang sepatutnya di lakukan oleh Purchasing Officer adalah bukan tugasan yang digemari oleh Jabatan aku, apabila ianya melibatkan urusan dengan wang tunai.

Amat bahaya, seolah-olah terpaksa bertarung dengan naga, tetapi hanya bersenjatakan tapak tangan dan ketajaman akal. Segala urusniaga yang berlaku akan diselidiki dengan teliti demi memastikan tiada berlaku sessi pecah amanah dikalangan pekerja.

Keluhan perihal kerja selesai.

Ketika aku bersama dengan dua rakan sekerja di dalam van syarikat yang sedang khusyuk terperangkap di dalam kesesakan lalulintas di Jalan Pudu, tiba-tiba siren ambulan secara mendadak menjerit meminta laluan. Situasi yang sering berlaku ketika kesesakan jalan raya, tetapi kali ini, agak unik, memerlukan jalan penyelesaian yang agak spontan. Jalan yang padat dengan kenderaan, di tambah dengan kepandaian pemandu-pemandu bodoh yang meletak kenderaan di bahu jalan adalah merupakan bonus kepada situasi ini. Secara logik, bagaimana mahu memberikan laluan di dalam lorong yang sempit. Aku menurunkan tingkap untuk melihat situasi ambulan itu, yang tersekat di belakang sebuah bas. Sebuah teksi berada di hadapan bas.

Aku menunggu sinis kelibat polis trafik atau polis peronda untuk datang mengawal keadaan. Keadaan masih sama untuk beberapa minit. Tiada laluan untuk diberikan. Hairan memandangkan sistem lalulintas terutamanya di Kuala Lumpur dipantau melalui kamera, tetapi seolah tiada sebarang pihak yang mengetahui misi sukar ambulan tersebut.
Melihatkan situasi semakin buntu penyelesaian, pemandu teksi yang berada di hadapan bas keluar, cuba untuk memberikan penyelesaian kepada ambulan, dan aku kagum dengan keupayaannya mengarah dan mengawal kenderaan-kenderaan supaya memberi laluan. Dia meninggalkan teksi yang dipenuhi penumpang, bergerak sejauh 100meter semata-mata meminta kenderaan membuka laluan. Walaupun tidak mengenali aku, dia dengan selamba meminta aku memandu teksinya agar tidak menghalang laluan ambulan. Satu gerak kerja yang cukup ganjil oleh seorang pemandu teksi, untuk membenarkan orang asing memandu teksinya. Aku dan rakanku terpingga.

Jalan penyelesaian dicapai melalui kesedaran seorang pemandu teksi. Aku berbangga dengan kesedarannya, dan sepanjang perjalanan pulang aku tersenyum mengenangkan betapa bernasib baiknya kita masih dikelilingi insan yang tampan tanggungjawab.

Mujurlah siren itu bukannya datang dari polis trafik yang mengiringi kerabat diraja.

Percaya itu Putih, Percaya itu Hitam

Seringkali berlaku konflik atau ketegangan kepada proses hidup manusia apabila tiba ketika yang memerlukan individu terbabit membuat sesuatu perubahan, yang dirasakan kurang selesa dan sesuai dengan sistem kehendak diri. Konflik yang timbul adalah merupakan pertembungan antara kehendak untuk menentang dan kehendak untuk mengakui perubahan.

Harus diakui, kehendak/keupayaan untuk menentang adalah lebih mudah untuk disalurkan/diluahkan/dikerjakan berbanding untuk mengakui. Ini kerana, rangsangan-rangsangan untuk menentang adalah lebih mudah untuk dicapai dan disalurkan kepada akal. Rangsangan ini wujud dari pemerhatian, pemahaman dan pengalaman yang termampu diperolehi dan diproses berdasarkan tahap keupayaan manusia. Keadaan ini amat berbeza sekiranya individu terbabit memerlukan rangsangan untuk mengakui, kerana ia memerlukan keupayaan yang berkali ganda dari aspek pemerhatian, pemahaman dan pengalaman individu terbabit, dan memerlukan rangsangan secara imaginatif mahupun rasional oleh individu, dan ternyata proses ini adalah amat sukar.

Dengan menentang perubahan, individu berupaya mengekalkan sistem kehendak diri yang sudah kukuh di dalam akal dan tidak perlu mengubah bentuk perilaku yang dikerjakan selama ini. Perubahan yang ditentang kebiasaannya diberikan alasan bahawa sekiranya diakui, maka sistem kehendak diri tidak lagi mengikut keselesaan, tetapi berubah menjadi satu sistem kehendak diri yang palsu.

Apabila mengakui perubahan, individu telah membuat satu tindakbalas yang besar dan berani. Namun apabila tiba pada tahap perlaksaanan,perubahan yang diakui akan dipersoalkan samaada ianya adalah secara mutlak datang dari sistem kehendak diri ataupun semata-mata kerana wujudnya paksaan terhadap perlaksaanan atau untuk menyenangkan pihak lain dan sebagainya. Pada tahap ini, perubahan yang diakui juga akan dianggap sebagai sistem kehendak diri yang palsu.

Oleh itu, jalankan tindakbalas anda terhadap perubahan yang dihadapi dengan hati yang lapang dan dada yang tidak tersekat.

Tiada siapa akan peduli. Jangan digusarkan .

Ini adalah proses hidup masing-masing.
eXTReMe Tracker