20081230

Mempertahankan.

Tahun ini hampir tamat, walaupun terus-terang aku akui, aku belum cukup sempat untuk melangsaikan beberapa perkara penting, yang perlu diselesaikan dalam tahun ini. Ia bukanlah azam aku untuk tahun ini, tetapi cuma aku rasakan, perlaksaannya amat bersesuaian untuk 2008.

Lupakan perihal itu. Tidak penting buat kamu pun.

Apa yang lebih penting sekarang bagi aku dan mungkin juga kamu, tentang bentuk masalah yang dihadapi seharian dan cara kita berusaha untuk mengubati/menghindari/mengatasi masalah-masalah tersebut. Apa yang aku mampu rumuskan, berkaitan dengan aku iaitu, masalah yang dihadapi, bertambah rumit dan memerlukan jalan penyelesaian bercorak pemikiran analitikal, setiap tahun, seolah-olah masalah tersebut adalah satu bentuk organik berevolusi. Semakin meningkat tahun yang aku lalui, semakin rumit masalah yang muncul, dalam bentuk dan situasi yang pelbagai. Mengapa ini tetap berlaku? Namun sekiranya aku mempersoalkan kewujudan ia, seolah-olah aku menidakkan realiti. Tetapi aku juga seorang yang gemar berimaginasi, kerana dengan berimaginasi, aku berupaya mencipta satu ruang legar positif lagi kuat untuk aku membina kelakuan/kehidupan yang tidak termakbul di dalam realiti.

Dan aku biarkan kedua-duanya bergerak, pada masa yang sepatutnya.

Berbalik kepada topik masalah, aku juga sebenarnya tidak kisah untuk berhadapan dengan masalah yang pelbagai, yang akhirnya akan menjadikan aku lebih terdedah kepada pengalaman/pemikiran/pemahaman yang lebih matang dan bijaksana. Aku mungkin pada mulanya akan membuat kesilapan dalam membuat keputusan, tetapi bukankah itu normal bagi kita? Kesan dari keputusan aku jua, membuatkan hidup aku adakalanya serba molek, dan adakalanya serba tak kena. Normal juga bukan?

Masalah-masalah yang aku telah cuba untuk selesaikan sewaktu dua-tiga tahun lepas atau tahun lepas yang masih belum selesai, aku biarkannya mendampingi aku ke tahun yang seterusnya kerana aku yakin, pada masa dan tempat yang sesuai, ia akan selesai jua. Tidak perlu untuk aku terburu-buru atau memaksa diri ke tahap yang radikal kerana ia mampu membinasakan aku kelak dalam bentuk yang tersendiri.

Aku cuma sekadar mempertahankan apa yang sepatutnya.

20081221

Makan sini

Apabila kamu tiba di sesebuah restoran mahupun gerai makan, perkara yang terutama yang ingin dicapai adalah menikmati makanan yang dihajati secara aman dan lancar. Kejayaan menikmati mampu mencorakkan emosi kamu sepanjang hari tersebut.(lupakan tentang keracunan makanan atau kesan makanan terhadap proses penghadaman, kita tidak menuju ke arah itu) Aku pasti ramai yang sedar, tingkah laku, tutur kata, dan pemikiran yang bodoh/melulu akan menguasai diri ketika kita dalam kelaparan.

Satu perkara yang aku, kurang gemar terhadap pelanggan(lapar!) yang mampu membuatkan para pelanggan(lapar!)lain hilang selera untuk menghabiskan makanan adalah sikap memberontak dan hilang sabar terhadap apa-apa yang dirasakan tidak menepati kehendaknya. Apabila meluap perasaan memberontak dan hilang sabar, maka akan bermula perkara yang aku secara jujur benci iaitu golongan pelanggan yang memilih untuk mengherdik dan bersikap kurang ajar terhadap pekerja yang bertungkus lumus berusaha untuk memenuhi kepuasan kamu.

Apa hak kamu untuk berkelakuan sedemikian terhadap mereka? Perlukah kamu untuk memalukan/menjatuhkan air muka mereka di khalayak ramai semata-mata kerana makanan kamu lambat tiba?

Perlu aku ingatkan kepada kamu, kerana aku rasa kamu mungkin telah lupa tentang satu persamaan ini. Sewaktu kecil, siapa yang menghidangkan makanan kepada kamu? Emak kamu bukan? Ingin aku tahu, adakah pernah kamu meninggikan suara atau mengherdik emak kamu sekiranya dia terlewat menghidangkan makanan di atas meja untuk kamu? Pernah?

Tidak pernah, aku andaikan.

Sekarang, apa bezanya pekerja-pekerja ini dengan emak kamu? Mereka juga menghidangkan makanan untuk kamu, sedangkan kamu hanya enak menunggu di atas kerusi. Adakah kamu merasakan bahawa dengan membayar harga untuk makanan tersebut, kamu layak untuk membuat apa sahaja terhadap mereka?

Sedarlah diri wahai kamu, insan yang sedang lapar. Ketahuilah juga bahawa para pekerja itu juga mempunyai hati, perasaan dan nafsu sama seperti kamu. Ketahuilah juga dengan titik peluh usaha mereka-lah, kamu dapat menikmati makanan yang diidamkan.

Kamu meminta, mereka memberi dan sepatutnya kamulah yang patut bersyukur dan memberikan senyuman terhadap mereka, dan bukannya caci-maki.


Hal ini, tidak memerlukan ijazah.

20081217

Tahun Jagung

Ramai orang pernah berkata, semakin meningkat umur seseorang, semakin matang pemikiran dan pemahamannya(mengikut paras kemampuan).

Ok, jika benarlah apa yang diperkatakan, mengapa sampai sekarang masih ramai yang bertindak/berfikir/bersuara dengan cara sebaliknya dari apa yang sepatutnya berlaku.

Atau lebih senang aku buat rumusan bahawa, setenang, sewaras mana pun kamu, kalau berdepan dengan situasi yang melibatkan emosi, kamu pasti sukar untuk menjadi atau bertindak secara sepatutnya.

Tetapi,

Siapa yang sempurna?

heh
eXTReMe Tracker