20091130

Mata yang Memandang.



Aku bangun setiap hari seiring dengan harapan: celik mata ini mampu meyaksikan sesuatu yang menakjubkan, untukku curi lantas dijadikan inspirasi.

Aku adalah seorang yang kurang gemar kepada sesuatu yang rutin walaupun dari kelmarin hingga kini, masih aku tersekat dengan ia. Lantas dalam usaha aku menidakkan sesuatu ketetapan, aku mencipta pelbagai perilaku semata-mata kerana aku menagih perbezaan. Jelas perilaku ini seringkali tidak disenangi pihak lain, yang besar kemungkinan terpaksa menanggung risiko atas perilaku ini. Sememangnya ia bukanlah sesuatu yang indah untuk dibicara mahupun dibanggakan, namun atas dasar keinginan harapan ini, harus aku redah jua.

Bagiku, Revolusi hanya berjaya diluncur oleh manusia yang mempersetankan sempadan, dahagakan ruang untuk berkembang secara nyata, bukan hanya pada permukaan semata-mata.


Sekecil manapun kelainan yang berjaya dibangunkan, akan tetap dibelai, dikumpul untuk menjadi hakisan kepada ketetapan. Kesinambungan ia perlu aku pedulikan, supaya langkahku tiada letih ke hadapan.


Jika ditanya, apa yang diinginkan aku ketika ini...


Terus-terang, aku meminta untuk disajikan dengan perkara-perkara yang menakjubkan.


Adakah terlalu besar permintaan ini?


Heh.

20091129

Patuh.



Alunan rasa sentiasa akan berlegar untuk memberikan/mempersembahkan yang terbaik yakni mulia kepada diri kita, supaya sentiasa mekar diterangi, segar dibasahi realiti. Ternyata alunan-alunan tersebut adalah suatu keinginan, yang sangat ditagih oleh kita. Aura ia yang seakan sempurna mampu untuk menyenangkan hati sang pemilik yang bertuah. Gemalai ia begitu halus, layak menjadi pelindung dari rasa kekosongan.

Dan apabila keinginan ini ribut ditagih oleh segerombolan yang lumpuh perasaan, pada ketika yang begitu genting, maka percayalah...


Harus ada yang surut, harus ada yang patuh pada landasan...


Agar alunan rasa kembali sentiasa berlegar.



Heh.

20091124

Untuk Terus Hidup (Mereka di sini, Kita di sini).




Pada ketika seperti ini, godaan hati untuk menundukkan prinsip aku yang masih erat digenggam ternyata terlalu bersemarak. Hangat marak ia mampu menyambar sekumpulan helang pemburu dalam sekelip mata. Tiada yang terlepas. Tiada yang masih bernafas. Pasti.

Untuk apa godaan ini harus di sini? Bukankah aku pernah kamu tewaskan bertahun dahulu? Meranap dan merapuhkan kematanganku lalu dengan megah kamu membina kuasa kemurungan mega.

Kemenangan kamu itu adalah perkenalan kita.

Dendam bukanlah tujuan agar kita bersua kembali.

Aku percaya, kedatanganmu kali ini, lebih beremosi, seakan suci dari tembelang, akan menghampiri kelekaan agar dapat meluncurkan perangkap terhadap diriku. Semakin aku berusaha mengenali cahaya angkasa, sejak itu juga semakin bergelumang aku dengan segala helah dusta ciptaan manusia, mirip caramu tetapi terlalu lemah. Mereka telah secara tidak langsung menjadi guru kepadaku.

Akan aku sambutmu dengan segala sandiwara, malahan berani aku untuk merelakan diri ini hancur lebur sepenuhnya, agar dapat aku kembali penuh suatu hari nanti. Aku mempersilakan kamu datang dengan segala kemegahan dan kemasyhuran yang ada sekali lagi.

Tiada aku gusar kerana aku masih patuh. Begitu juga dia.

Heh.
eXTReMe Tracker