20090928

Untuk Kamu Pergi Jauh Tanpa Menoleh Ke Arah Langkahmu Sendiri?.

Seperti selalu, aku akan mengeluh tentang situasi yang memerlukan aku, atau kamu(mungkin) untuk berhenti seketika bagi merenung atau membuat spekulasi skala tentang perilaku kita terhadap sesuatu situasi. (berbelit?)

Perihal ini akan terjadi, dan terus terjadi. Demi kebaikan dan kestabilan perilaku kita jua.

Mengapa perlu terburu?

Rokok akan dinyalakan, dan kopiku masih panas berasap. Mari duduk bersamaku dan santai.

Dan apabila aku cenderung mesra untuk berbual tentang sesuatu secara tenteram, janganlah dihairankan, lebih baik santai bersamaku, dan ukirkan senyuman. Enak bukan?.


Mahu dilepaskan saat sebegini?


Aku yakin kamu tidak terdaya.


Ributmu mampu tenteram ketika bersamaku.


Heh.




*entri tiada berkenaan unsur kisah cinta, jangan terpedaya*

20090923

Oh Mertua-Mertuaku.

Pulang ke kampung untuk bertemu keluarga dan sanak saudara, cukup menarik dan pastinya akan dipenuhi dengan ketika yang manis.

Tetapi pulang ke kampung untuk majlis kenduri kahwin, adalah umpama datang menyerah diri untuk disembelih dan diratah sampai basi.

Aku faham jika mereka tidak mempunyai modal yang terkini untuk berborak denganku, kerana aku jarang menawarkan peluang untuk memulakan sessi berbicara bersama sesiapa. Senyuman lebih enak untuk aku berikan berbanding berbicara tentang perihal diriku. Aku setia menjadi pendengar daripada berbual. Itu sudah memadai.

Apabila mereka hampa untuk memaksaku membuka tirai hidupku secara rela, maka pasti terbit soalan cepumas, bertindak sebagai pencungkil klasik kisah hidupku.


"Kamu ni bila pulak nak naik pelamin?, orang lain suma dah selesai."


Alahai.


Tolonglah! Tolonglah berusaha untuk menjadi lebih kreatif dalam mencuba berborak denganku. Aku lebih rela berborak tentang warna dan bau tahi ayam atau sessi memberikan nama kepada anak lembu daripada berbicara tentang siapa yang bakal duduk di atas kerusi pelamin bersebelahan denganku. Niat kamu tidak salah, tetapi janganlah menganggap itu satu soalan yang normal yang harus diulang tanya terhadapku setiap kali berjumpa.


"Itulah dia, kalau saya booking anak perempuan pakcik/makcik yang berumur 8 tahun tu boleh?"Jawapan yang sangat-sangat ingin aku luncurkan.


Sah jari-jemarimu akan hinggap di pipiku.

Tahupun nak marah.


Heh.

20090921

Biseksual


Apa yang diperlukan aku, untuk kembali berselera terhadap sesuatu perasaan, keinginan dan keperluan telah berjaya, untuk sekali lagi pada bulan yang mulia ini. Bagiku, ketika ini datang pada waktu yang tepat dan tempat yang strategik.

Ya, tempat yang strategik. Faktor yang paling penting, kerana pada pengamatanku, sekiranya faktor ini diambil mudah, kejayaan yang aku perlukan, tidak akan datang dengan rela. Aku yakin, keberkesanan faktor ini adalah juga disebabkan ruang kesinambungan antara aku dan tempat ini, yang telah terjalin sejak sekian lama secara jujur. Segala-gala telah aku alami di sini, malah tempat ini juga sudah lali untuk menjadi saksi terhadap segala perilaku diriku, baik dari segi yang diimpikan oleh bakal ibu mertua hingga ke seburuk-buruk kelaku.

Apabila wujud peluang untuk aku kembali pulang ke tempat ini, walau untuk satu tempoh yang singkat, tidak pernah untuk aku lepaskan. Untuk kembali dibaluti dengan ketenteraman, diselubungi kedamaian,amat aku dahagakan. Walaupun kurang menawarkan peluang untuk sessi kegembiraan hipokrit, aku masih merasakan tempatku ini, adalah sesuatu yang paling indah untuk aku membesar dari segi pemikiran dan pemahamanku.
Aku rasa, dengan mempunyai kematangan pemikiran, untuk mencapai kegembiraan itu adalah sesuatu yang tidak sukar untuk dilaksanakan di tempat sebegini, dengan hanya berbekalkan beberapa tipu-muslihat hidup, bukankah begitu? Heh.

Aku yakin, kamu juga mempunyai fenomena seperti ini. Jangan ditipu perasaan diri. Jangan biarkan masa mencemar keinginan dan kehendakmu.


Pulanglah.


Selamat menyambut Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin.

Sangat ikhlas dariku.


Heh.

20090918

Apabila Aku Hilang untuk Muncul.


Manusia dan harapan adalah satu fenomena yang unik di mana kesinambungan hubungkait ia berubah-ubah mengikut skala pemikiran, dan sejauh mana kentalnya ketabahan kita untuk mengusahakan harapan ke tahap yang diingini.

Kadangkala, kita hanya sekadar melakar harapan, untuk tidak merasa seolah-olah hala tuju hidup tidak nampak goyang.

Seringkali, kita terlepas pandang terhadap sesuatu unsur yang sepatutnya diangkat menjadi satu harapan akibat perkara lain yang telah terdahulu diutamakan kehendak ia.

Perkara yang normal untuk berlaku, bukan?

Untuk mula mengerjakan ia, semestinya dengan satu perasaan berkobar-kobar, dan tekad untuk mencabar tahap keupayaan diri secara maksima. Semangat kena ada beb! heh. Lautan api kamu renangi, gunung-ganang kamu daki? Cantik.

Tetapi untuk satu tempoh yang lama? Adakah kamu yakin mampu menyelenggara semangat dan momentum kamu?


Ada yang berjaya, kerana harapan yang dibina tampil dengan kesan yang singkat.

Ramai yang kecundang, kerana masih terawang lalu terkapai.


Mengapa harapan sering berjaya mengecewakan kita? Adakah kerana harga ia yang terlalu mahal untuk dimiliki? Aku rasa kita semua terlalu mewah untuk membida harga harapan itu.


Dan mengapa kita masih gagal?


Mudah. Kerana ini adalah proses hidup. Sekali mencuba dan terus berjaya tidak setanding dengan terus mencuba untuk berjaya. Proses yang lancar, kadangkala menjadikan kita manusia, enak untuk mengendahkan sesuatu yang bernilai, lalu membiarkan ia pudar dalam genggaman.


Aku masih terus mencuba. Aku harap kamu juga begitu.


Heh.

20090916

Kakiku di Dasar.

Bagaimana jika kamu berada di tempatku kini, untuk menentang arus perasaan yang membuak datang untuk dibelai?
Bagaimana jika kamu berada ditempatku kini, menagih semata-mata untuk satu senyuman abadi demi menyembuhkan segala rasa hitam sanubari?
Bagaimana jika kamu berada ditempatku kini, mengejar matahari dan memaksanya setia menanti agar bisa dinikmati si dia, cahaya pagi?

Bagaimana jika kamu berada ditempatku kini, diselubungi harapan agar kesemuanya masih sama keesokan hari?

dan

Bagaimana jika aku katakan, yang walau apa pun terjadi, tidak akan aku gadaikan...

Kerana, dengan lafaz yang penuh gundah tiada tenteram, masih tersenyum aku, mencari jalan untuk menghampiri.


Tiada apa yang masih tinggal? Mungkin itu jika aku berada ditempat kamu.



Heh.

20090915

ZKL beerti Zirafah Kote Lembik.

Aku hanya duduk santai di sofa lobi sambil meribakan komputer riba, dengan harapan untuk merasai nikmat santai yang sangat aku perlukan untuk hari ini. Namun kegembiraan tidak selalu datang dengan ayunya.Perilaku di depan mataku ini cukup untuk membuatkan aku semakin merasa hairan dengan gelagat perempuan, yang gemar bercakap dengan lantang tentang perihal diri mereka seharian, yang dipenuhi dengan isu bagaimana untuk menghabiskan wang lelaki,untuk membuat lelaki tunduk terhadap mereka dan pelbagai isu yang aku hampir jelik untuk aku menyambung memasang telinga(tidak perlu pun, memang akan dengar). Tolonglah simpankan kemegahan kamu semua.


Hey, aku masih di sini, di hadapan kamu semua, dan masih mendengar perbualan kamu!


Mengapa Jalan Ampang masih sesak sekarang? Aku perlu pergi dari sini!


Heh.

Apa Yang Perlu Kamu Tahu.

Semenjak kecil, aku adalah seorang yang gemar mencuba menyelesaikan masalah dengan merujuk kepada rakan-rakan. Ini adalah normal bagi kebanyakkan manusia aku rasakan, berdasarkan faktor keselesaan untuk meluah, dan faktor kompromi yang mampu ditawarkan rakan.

Namun, pendekatan yang aku pilih, untuk mencuba menyelesaikan, sedikit berbeza dari gaya yang normal. Aku akan hanya mendampingi rakan-rakan, melakukan pemerhatian secara langsung terhadap perilaku dan mentaliti mereka. Tidak melalui membuat luahan permasalahanku. Aku lebih selesa dengan pendekatan itu kerana, ianya lebih jujur untuk aku tafsirkan sebagai respon oleh mereka. Apa yang aku lihat, dengar dan rasa ketika mendampingi mereka, akan aku buat suatu analisis iaitu perbandingan terhadap diriku, mencari persamaan yang akhirnya akan aku jejak untuk dijadikan kesimpulan/penyelesaian terhadap masalahku.

Tetapi, tidak kesemuanya berjaya sehingga ke penyelesaian. Itu normal.


Sehingga kini, menjadi satu kerisauan bagiku apabila melihat rakan-rakanku ketika dihinggapi masalah yang beragam, hinggakan mampu melumpuhkan sistem rasional pemikiran mereka, melupuskan gaya-gaya penyelesaian masalah yang jitu dan akhirnya mendorong mereka untuk melakukan pelbagai perkara yang jelas serong, atas nama ‘Penyelesaian’.

Pada ketika ini, realiti bukanlah sesuatu yang harus ditawarkan kepada mereka, jika hal ini dibuat undian ramai. Itu benar, dan kadang-kala kebenaran yang sudah terpampang terpaksa ditelan, dikunci oleh pihak luar yang telah lama mengetahui. Bukankah ini adalah satu beban yang tepaksa ditanggung oleh pihak itu, yang pada masa sama juga buntu mencari penyelesaian untuk meluncurkan kebenaran kepada empunya kebenaran itu? Terjadinya perihal sebegini adalah disebabkan rasa tidak percaya mereka, bahawa kamu mampu menelan kekebenaran itu, secara rela.

Realiti adalah pisau yang senantiasa tajam.

Janganlah terlalu terdesak mencari penyelesaian yang kelak merugikan diri dan sekeliling kita. Mendampingi penyelesaian berdasarkan perasaan sememangnya tidak dilarang, namun biarlah ia dipimpin oleh akal pemikiran.


Apa yang perlu kamu tahu, tajamkan matamu lebih daripada ketajaman realiti.


Hal ini juga, tidak memerlukan ijazah.


Heh.

20090913

Ketika hembusan berlalu.


Di dalam proses hidup, aku percaya kita semua, sering tersalah anggap tentang sesuatu perkara yang dinamakan kemuncak hidup. Kita akan cepat terjerumus untuk merasa yakin bahawa kita telah berjaya menawan atau sedang didampingi ia. Kemuncak hidup juga secara bulat-bulat berjaya menukarkan emosi rasa seseorang ke arah yang lebih ceria, berkeyakinan dan enak ke tahap yang tertinggi.

Dan kesemua itu terjadi akibat dari mentaliti kamu yang secara gelojoh, yakin tentang kejayaan kamu sampai ke kemuncak hidup.

Bagaimana pula jika ianya hanya bersifat sementara, yakni ditarik balik, dan kamu melayang jatuh ke dasar permulaan?

Apa reaksi kamu? Apa yang akan dilancarkan oleh bibirmu? Sejauh mana hatimu mampu mengubati sembilu? Dan apa kata akalmu? Pasti ribut bukan?

Aku berundur beberapa langkah, sebelum era kejatuhan kamu, dan cuba kita lihat bagaimana perilaku kamu. Jika dinilai, rasanya tiada beza antara kita semua, di dalam menggayakan perilaku tersebut. Hampir sama, bagi kesemua manusia. Kepura-puraan terhadap apa yang dinyatakan sebagai realiti, jelas terpampang pada kita dan kamu, dan tiada sebab untuk kita mencari alasan menafikan perihal tersebut. Kita sememangnya 'berpura-pura' yang tiada gunanya.

Ya, kita adalah manusia yang terhad pengamatan terhadap kewujudan masa hadapan, tetapi itu bukanlah suatu alasan yang wajar diluncurkan oleh akalmu.

Belajar dari kesilapan adalah 'cogankata' usang yang mampu diluncurkan sewenang-wenangnya oleh sesiapa sahaja kepada kita, yang berakhir dengan kita bersendirian menghadapi kesan kejatuhan itu. Adakah dengan merasakan kamu sudah tidak mempunyai apa-apa lagi yang bernilai untuk dipertaruhkan nyawamu, jalan penyelesaian yang mudah adalah dengan melepaskan segala-galanya yang setia seiring denganmu?

Janganlah begitu.

Apa yang pernah, sedang dan yang akan berlaku, kesemuanya adalah proses hidup kamu. Tiada ketetapan yang telah ditentukan untuk kamu menghadapi ia. Seorang yang bijak pandai seperti kamu, tentu tahu bagaimana sukarnya meniti masa lampau yang penuh rintangan melulu, yang kadangkala tidak dapat diterima akal oleh pihak lain. Tetapi kamu mampu, dan kamu membuktikan pada sekelilingmu, bahawasanya kamu telah mampu untuk menawan dan menempeleng rintangan tersebut, walaupun ia sukar. Manisnya kejayaan tersebut, aku yakin, tak tercapai bibirmu untuk mengambarkan ia. Kejujuranmu telah menutupi segala ketempangan yang ada pada 'nyawamu' sekaligus membuat 'dia' benar-benar layu tersungkur, lemas padamu. Ini adalah sesuatu yang tidak akan dapat ditukar-ganti, bukankah begitu?


Untuk kesemua peluh lelah yang pernah kamu hadapi ini, akan berbaloi untuk kamu mengkhianati kejujuranmu disebabkan 'kejatuhanmu' itu? Mengapa kamu ingin membiarkan dirimu menjadi sesuatu yang lemah, sedangkan kamu pada suatu ketika dahulu, merupakan seorang insan yang pernah menjadi awan kepada 'nyawamu' itu? Mengapa tidak saja ditebus segala saat dahulu, ketika kamu masih tegak berdiri, biarkan saat-saat itu mendampingimu, setia bersamamu agar kamu tidak lagi semakin jatuh melayang tanpa dihalang.


Teras hidupmu kini, yang hanya mahu berlingkar mengelilingi api-api yang ingin marak, adalah bukan suatu yang sukar untuk dikecapi. Aku yakin, dengan kemampuanmu, pelbagai api telah berjaya dipadamkan, malahan mungkin ada hanya dengan satu hembusan lembutmu. Namun, percayalah kataku juga, bahawasanya kelak pasti muncul, sekecil-kecil api yang longlai dan halus, dipandang remeh olehmu tetapi akan berjaya membiarkan dirimu kehangatan di dalamnya, lalu membakar segala kekerasan dan keberanianmu.

Biarkan segala api-api yang terpadam menabur segala hasutan hangit kepada dunia, biarkan segalanya menjadi debu yang tiada nilai, sama seperti niat mereka pada mulanya. Kejahilan mereka terhadap dirimu terlalu nyata, mereka hanyalah bagaikan kuman di udara, dan usahlah dikhuatir tentang kesannya. Abaikan.

Bingkas bangun, dan segeralah kembali mencari langkahmu. Jangan biarkan dunia menunggumu bangkit dari kejatuhan kemuncak hidupmu ini. Tiada apa yang salah sebelum ini dalam hidupmu, kerana ini adalah proses hidup. Sekerasnya kita berhak untuk merasa gembira, selayak itu juga untuk kita mengenali kegagalan.


Oleh itu, silalah bangun, senyum dan mulakan langkahmu kembali.
Kamu ingin tahu erti sebenar bebasnya kebebasan, bukankah begitu?


Heh.

20090912

Mara si rama-rama.




Suatu pagi yang biasa, sejuk dan damai, aku bersama seorang teman berjalan menuju satu destinasi, bagi mencari kelainan. Aku dan dia tahu, tentang apa yang bakal kami temui, mungkin tidak sesegar dan unik seperti yang diharapkan, namun kami positif lalu membina keyakinan diri secara rela semata-mata untuk tidak mahu merasa seolah-olah dikecewakan oleh perihal yang terlalu kudis.


Dia juga tahu, jauh di sudut aku, pasti kelak akan mempersoalkan rasional tindakan kami.

Aku juga tahu, pada suatu masa, si dia pasti mengiyakan kekesalan di atas usaha ini.


Tetapi, untuk masa dan ketika ini, sedang kami berjalan dengan langkah yang penuh dengan senyuman dan rasa rindu yang mekar, tiada wujud sebarang kesangsian.


Persetankan semua yang menghalang.

Heh.

20090910

Mesin Pengisar Alasan.

Setelah lama aku membiarkan ruang ini, karat dengan kekosongan, semakin terdesak aku untuk mencari ketenangan. Sememangnya aku tidak jujur untuk menyuarakan sesuatu yg terlintas dalam pemikiran aku sejak beberapa ketika ini, kerana aku merasakan, tidak perlu untuk dihebahkan perkara yang dirasakan 'biasa/remeh' bagi sesetengah pihak.

Lalu langsung aku telah beberapa kali dikejutkan dengan insiden yang telah kuduga kemungkinan kewujudan ia. Aku sendiri yang meluncurkan kemungkinan ia, dan aku juga akhirnya yang menerima akibatnya. Mengapa hal ini perlu terjadi kepada orang-orang yang sememangnya mempunyai pegangan kewarasan yang tinggi. Adakah dengan mengesyorkan kepadaku tentang manusia dan kesilapan tidak dapat dipisahkan mampu meyakinkanku tentang keinsafan kamu? Heh. Sangat nakal.

Sedarlah, sesuatu yang remeh, hanyalah permulaan kepada kehidupan. Jangan diperkecilkan kelemahan kamu. Tangani sebaik mungkin. Heh
eXTReMe Tracker