20121204

Benderang.



Kuala Lumpur. Pukul 6 pagi.

Aku memandang ke luar tingkap, langit masih gelap untuk mereka yang akan keluar. Masih gelap untuk mempercayai pagi ini adalah satu pagi yang baik, atau sekurangnya akan bersinar cerah.

Cuaca mampu mencorakkan kepercayaan kita.

Hari yang cerah mampu membuatkan kita memberi respon yang baik kepada persekitaran. Kita cenderung untuk senyum, menyapa manusia lain apabila langit penuh dengan awan putih gebu. Senyuman pada individu yang berdiri sebelah kamu di dalam lif lebih menawan, pada cuaca sebegitu. Sarapan yang bakal kamu pilih juga lebih bercorak pada keutamaan penampilan diri berteraskan kesihatan. Sedap, ringkas dan berkhasiat. Kamu lebih terbuka untuk berinteraksi dalam apa jua bentuk dengan lebih yakin dan girang. Ini juga adalah peluang yang ditunggu bagi mereka yang sememangnya telah lama menunggu untuk berinteraksi dengan kamu. Segala kesulitan untuk berlaku pada hari ini juga tipis, mungkin hanya disambut dengan gelak sinis tentang kewujudannya.

Hari ini sememangnya adalah hari yang baik untuk semua.

Muzik telah diketahui umum sebagai teman karib manusia dalam apa jua keadaan, seolah-olah ia mampu menilai segala rasa dan pemahaman manusia. Apabila sedih, putarkan apa jua lagu sedih dan ia akan terus mampu dihubungkaitkan dengan perasaan kita. Segala perasaan kita seolah-olah dihuraikan di dalam lirik lagu itu.Melodi ia pula seolah-olah adalah adalah suara hati kita yang sedang ribut meronta. Apabila hari yang cerah ini, kamu tentu tidak mahu melepaskan peluang untuk memilih lagu yang terbaik, untuk diputarkan. Ini kerana, kamu percaya dengan memutarkan lagu sedih pada hari yang cerah, kamu akan dikategorikan sebagai individu kurang sensitiviti untuk mengadaptasi diri dengan persekitaran.

Hari ini sememangnya adalah hari yang baik untuk semua.

Cuaca mampu mencorakkan kepercayaan kita, namun selalunya kejayaan lebih kepada perasaan.

Kamu tidak percaya dengan hak kamu untuk mencabar kemampuan diri bersemuka dengan kepercayaan bahawa kita sebenarnya harus berani melepaskan segala perasaan kita, walau dalam apa jua keadaan. Kita tidak harus menunggu sesuatu keadaan berlaku demi membenarkan perasaan.

Aku memandang ke luar tingkap lagi. Hari ini, mungkin tidak secerah kamu harapkan. Tidak mengapa, aku tetap akan membenarkan perasaan ini.



Heh.

No comments:

eXTReMe Tracker