20100225

Hidup Ini Terang-terang Palat.





Jika ada sebarang kesilapan di kala kita cuba untuk mengimbangi kehidupan, sebagaimana yang telah dunia tahu sebelum ini, bukan satu ketika yang patut dibanggakan, janganlah cemas mahu gundah gulana. Kitaran keseimbangan masih ada, di sekeliling kita.


Ayuh! Ayuh! Ayuh!

Tinggalkan semua, atas kesedaran kita!

Untuk apa sentiasa dalam kesal?


Heh.

20100219

Alasan (Tetap Sekadar Alasan)



"Tidak kesemua senyuman itu satu sedekah yang menyenangkan. Adakalanya ia adalah amaran kepada satu musibah yang bakal mendatang"


Tentang dengan tenang. Kita masih lagi jiwa yang sama, seperti semalam.




Heh.

20100203

Bencana Terakhir.



Malam.

"Mereka masih lagi menonton persembahan perilaku silam, sambil memperjudikan peluang dan menipiskan kemaraan."



Heh.

20100129

Pada Skala Kecil Ia Bercahaya.

Petang.

Mereka pernah cuba memandang tepat ke arah keinginan, satu keinginan yang diimpikan atau mungkin paling ditagih semua sambil cuba membimbing aku, turut serta.

Aku yakin keinginan itu sesuatu yang pasti melenturkan kesangsian akal, pada jangkamasa yang berbeza untuk setiap manusia. Apa sahaja mampu dilakukan, nekad dilakukan semata-mata mencari titik mula keinginan itu.

Aku hanya akan memerhati.

Sekiranya kamu tercicir dari apa yang sepatutnya, walau sesaat atau setapak, aku masih hanya akan memerhati...


dan dengan senyuman jualah aku akan berhenti dibimbing.


Heh.

20100127

Kacak.




'Sebaik-baik manusia adalah mereka yang berpura-pura baik.'





Heh.

20100123

Embun.




Pagi.

Mereka bangun lantas berhak merasa kepincangan atas unsur keraguan, yang selamanya terukir pada riak wajah ini.Fenomena normal yang diluncurkan mereka, adalah sesuatu yang telah lali. Mereka pasti bangkit, mencuba untuk melangkah pergi namun kembali berdiri apabila riak wajah ini, kembali lantas mencapai langkah itu, langkah yang sememangnya bukan atas ketentuan mahupun kerelaan.

Abaikan segala gerak rasa kamu, jika kamu percaya secara nyata, bahawa riak wajah ini, sememangnya hanya satu.

Riak wajah ini mempunyai pelbagai rupa kasar.

Tetapi untuk kamu, hanya satu.

Itu yang perlu kamu tahu.



Heh.

20100118

Sepelusuk Hitam.





"Sekiranya ketentuan ini adalah satu kebetulan abadi yang tercipta khas untuk kamu dan aku, maka dengan segala penuh rasa rendah diri dan syukur, aku mendaki untuk mengenggam kemuncak mimpimu"




Heh.

20100111

Selamanya.





"Love cannot save you from your own fate." - Jim Morrison



Heh.

20100106

Lebur Emas.




'Suatu hari nanti, mereka akan berjalan sambil memandang ke arah kebenaran, lalu tersenyum terbang'.






Heh.

Titik.





'Sekiranya sesuatu perkara yang benar mudah untuk diluncurkan, pasti harganya lumayan untuk dijelaskan.'



Heh.

20100102

Dua puluh sepuluh.



Menceritakan kembali sepanjang tahun ini, maka terbit penuhnya rasa, segala rasa untuk aku disirami, dilimpahi ia dengan perasaan jujur, saksama dan nyata.

Dan mereka juga, yang pernah mendampingi, terus menghampiri, sedang menikmati hati ini, pasti tahu mengapa kadangkala, sesuatu yang nyata bagi semua, bukanlah menjadi satu kepastian bagi aku. Apa yang nyata, kerisauan kamu terhadap perilaku aku. Adakah perlu diluncurkan segala ribut di hati ini, untuk membuktikan luhurnya niat ini?

Aku pernah, dan terus dilangkah.

Itu cerita lama. Persetankan.

Dua Puluh Sepuluh, apa yang mampu kamu tawarkan padaku?


Heh.

20091206

Keramaian.

Ayuh kita hentikan sejenak masa mengikut gaya dan cara kita, semata-mata untuk kembali menghargai apa yang pernah singgah ke dalam hidup kita, sama ada secara tenteram mahupun ribut.

Kita pernah diberikan peluang,
Dan kita akan terus diberikan peluang...

Kerana di dalam pengembaraan mencari ketenteraman, aku pasti tiada sesiapa yang akan disisihkan.


Ayuh, mari kita meraikannya, sepenuh hati dengan satu senyuman abadi.




Heh.

20091130

Mata yang Memandang.



Aku bangun setiap hari seiring dengan harapan: celik mata ini mampu meyaksikan sesuatu yang menakjubkan, untukku curi lantas dijadikan inspirasi.

Aku adalah seorang yang kurang gemar kepada sesuatu yang rutin walaupun dari kelmarin hingga kini, masih aku tersekat dengan ia. Lantas dalam usaha aku menidakkan sesuatu ketetapan, aku mencipta pelbagai perilaku semata-mata kerana aku menagih perbezaan. Jelas perilaku ini seringkali tidak disenangi pihak lain, yang besar kemungkinan terpaksa menanggung risiko atas perilaku ini. Sememangnya ia bukanlah sesuatu yang indah untuk dibicara mahupun dibanggakan, namun atas dasar keinginan harapan ini, harus aku redah jua.

Bagiku, Revolusi hanya berjaya diluncur oleh manusia yang mempersetankan sempadan, dahagakan ruang untuk berkembang secara nyata, bukan hanya pada permukaan semata-mata.


Sekecil manapun kelainan yang berjaya dibangunkan, akan tetap dibelai, dikumpul untuk menjadi hakisan kepada ketetapan. Kesinambungan ia perlu aku pedulikan, supaya langkahku tiada letih ke hadapan.


Jika ditanya, apa yang diinginkan aku ketika ini...


Terus-terang, aku meminta untuk disajikan dengan perkara-perkara yang menakjubkan.


Adakah terlalu besar permintaan ini?


Heh.

20091129

Patuh.



Alunan rasa sentiasa akan berlegar untuk memberikan/mempersembahkan yang terbaik yakni mulia kepada diri kita, supaya sentiasa mekar diterangi, segar dibasahi realiti. Ternyata alunan-alunan tersebut adalah suatu keinginan, yang sangat ditagih oleh kita. Aura ia yang seakan sempurna mampu untuk menyenangkan hati sang pemilik yang bertuah. Gemalai ia begitu halus, layak menjadi pelindung dari rasa kekosongan.

Dan apabila keinginan ini ribut ditagih oleh segerombolan yang lumpuh perasaan, pada ketika yang begitu genting, maka percayalah...


Harus ada yang surut, harus ada yang patuh pada landasan...


Agar alunan rasa kembali sentiasa berlegar.



Heh.

20091124

Untuk Terus Hidup (Mereka di sini, Kita di sini).




Pada ketika seperti ini, godaan hati untuk menundukkan prinsip aku yang masih erat digenggam ternyata terlalu bersemarak. Hangat marak ia mampu menyambar sekumpulan helang pemburu dalam sekelip mata. Tiada yang terlepas. Tiada yang masih bernafas. Pasti.

Untuk apa godaan ini harus di sini? Bukankah aku pernah kamu tewaskan bertahun dahulu? Meranap dan merapuhkan kematanganku lalu dengan megah kamu membina kuasa kemurungan mega.

Kemenangan kamu itu adalah perkenalan kita.

Dendam bukanlah tujuan agar kita bersua kembali.

Aku percaya, kedatanganmu kali ini, lebih beremosi, seakan suci dari tembelang, akan menghampiri kelekaan agar dapat meluncurkan perangkap terhadap diriku. Semakin aku berusaha mengenali cahaya angkasa, sejak itu juga semakin bergelumang aku dengan segala helah dusta ciptaan manusia, mirip caramu tetapi terlalu lemah. Mereka telah secara tidak langsung menjadi guru kepadaku.

Akan aku sambutmu dengan segala sandiwara, malahan berani aku untuk merelakan diri ini hancur lebur sepenuhnya, agar dapat aku kembali penuh suatu hari nanti. Aku mempersilakan kamu datang dengan segala kemegahan dan kemasyhuran yang ada sekali lagi.

Tiada aku gusar kerana aku masih patuh. Begitu juga dia.

Heh.

20090928

Untuk Kamu Pergi Jauh Tanpa Menoleh Ke Arah Langkahmu Sendiri?.

Seperti selalu, aku akan mengeluh tentang situasi yang memerlukan aku, atau kamu(mungkin) untuk berhenti seketika bagi merenung atau membuat spekulasi skala tentang perilaku kita terhadap sesuatu situasi. (berbelit?)

Perihal ini akan terjadi, dan terus terjadi. Demi kebaikan dan kestabilan perilaku kita jua.

Mengapa perlu terburu?

Rokok akan dinyalakan, dan kopiku masih panas berasap. Mari duduk bersamaku dan santai.

Dan apabila aku cenderung mesra untuk berbual tentang sesuatu secara tenteram, janganlah dihairankan, lebih baik santai bersamaku, dan ukirkan senyuman. Enak bukan?.


Mahu dilepaskan saat sebegini?


Aku yakin kamu tidak terdaya.


Ributmu mampu tenteram ketika bersamaku.


Heh.




*entri tiada berkenaan unsur kisah cinta, jangan terpedaya*

20090923

Oh Mertua-Mertuaku.

Pulang ke kampung untuk bertemu keluarga dan sanak saudara, cukup menarik dan pastinya akan dipenuhi dengan ketika yang manis.

Tetapi pulang ke kampung untuk majlis kenduri kahwin, adalah umpama datang menyerah diri untuk disembelih dan diratah sampai basi.

Aku faham jika mereka tidak mempunyai modal yang terkini untuk berborak denganku, kerana aku jarang menawarkan peluang untuk memulakan sessi berbicara bersama sesiapa. Senyuman lebih enak untuk aku berikan berbanding berbicara tentang perihal diriku. Aku setia menjadi pendengar daripada berbual. Itu sudah memadai.

Apabila mereka hampa untuk memaksaku membuka tirai hidupku secara rela, maka pasti terbit soalan cepumas, bertindak sebagai pencungkil klasik kisah hidupku.


"Kamu ni bila pulak nak naik pelamin?, orang lain suma dah selesai."


Alahai.


Tolonglah! Tolonglah berusaha untuk menjadi lebih kreatif dalam mencuba berborak denganku. Aku lebih rela berborak tentang warna dan bau tahi ayam atau sessi memberikan nama kepada anak lembu daripada berbicara tentang siapa yang bakal duduk di atas kerusi pelamin bersebelahan denganku. Niat kamu tidak salah, tetapi janganlah menganggap itu satu soalan yang normal yang harus diulang tanya terhadapku setiap kali berjumpa.


"Itulah dia, kalau saya booking anak perempuan pakcik/makcik yang berumur 8 tahun tu boleh?"Jawapan yang sangat-sangat ingin aku luncurkan.


Sah jari-jemarimu akan hinggap di pipiku.

Tahupun nak marah.


Heh.

20090921

Biseksual


Apa yang diperlukan aku, untuk kembali berselera terhadap sesuatu perasaan, keinginan dan keperluan telah berjaya, untuk sekali lagi pada bulan yang mulia ini. Bagiku, ketika ini datang pada waktu yang tepat dan tempat yang strategik.

Ya, tempat yang strategik. Faktor yang paling penting, kerana pada pengamatanku, sekiranya faktor ini diambil mudah, kejayaan yang aku perlukan, tidak akan datang dengan rela. Aku yakin, keberkesanan faktor ini adalah juga disebabkan ruang kesinambungan antara aku dan tempat ini, yang telah terjalin sejak sekian lama secara jujur. Segala-gala telah aku alami di sini, malah tempat ini juga sudah lali untuk menjadi saksi terhadap segala perilaku diriku, baik dari segi yang diimpikan oleh bakal ibu mertua hingga ke seburuk-buruk kelaku.

Apabila wujud peluang untuk aku kembali pulang ke tempat ini, walau untuk satu tempoh yang singkat, tidak pernah untuk aku lepaskan. Untuk kembali dibaluti dengan ketenteraman, diselubungi kedamaian,amat aku dahagakan. Walaupun kurang menawarkan peluang untuk sessi kegembiraan hipokrit, aku masih merasakan tempatku ini, adalah sesuatu yang paling indah untuk aku membesar dari segi pemikiran dan pemahamanku.
Aku rasa, dengan mempunyai kematangan pemikiran, untuk mencapai kegembiraan itu adalah sesuatu yang tidak sukar untuk dilaksanakan di tempat sebegini, dengan hanya berbekalkan beberapa tipu-muslihat hidup, bukankah begitu? Heh.

Aku yakin, kamu juga mempunyai fenomena seperti ini. Jangan ditipu perasaan diri. Jangan biarkan masa mencemar keinginan dan kehendakmu.


Pulanglah.


Selamat menyambut Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin.

Sangat ikhlas dariku.


Heh.

20090918

Apabila Aku Hilang untuk Muncul.


Manusia dan harapan adalah satu fenomena yang unik di mana kesinambungan hubungkait ia berubah-ubah mengikut skala pemikiran, dan sejauh mana kentalnya ketabahan kita untuk mengusahakan harapan ke tahap yang diingini.

Kadangkala, kita hanya sekadar melakar harapan, untuk tidak merasa seolah-olah hala tuju hidup tidak nampak goyang.

Seringkali, kita terlepas pandang terhadap sesuatu unsur yang sepatutnya diangkat menjadi satu harapan akibat perkara lain yang telah terdahulu diutamakan kehendak ia.

Perkara yang normal untuk berlaku, bukan?

Untuk mula mengerjakan ia, semestinya dengan satu perasaan berkobar-kobar, dan tekad untuk mencabar tahap keupayaan diri secara maksima. Semangat kena ada beb! heh. Lautan api kamu renangi, gunung-ganang kamu daki? Cantik.

Tetapi untuk satu tempoh yang lama? Adakah kamu yakin mampu menyelenggara semangat dan momentum kamu?


Ada yang berjaya, kerana harapan yang dibina tampil dengan kesan yang singkat.

Ramai yang kecundang, kerana masih terawang lalu terkapai.


Mengapa harapan sering berjaya mengecewakan kita? Adakah kerana harga ia yang terlalu mahal untuk dimiliki? Aku rasa kita semua terlalu mewah untuk membida harga harapan itu.


Dan mengapa kita masih gagal?


Mudah. Kerana ini adalah proses hidup. Sekali mencuba dan terus berjaya tidak setanding dengan terus mencuba untuk berjaya. Proses yang lancar, kadangkala menjadikan kita manusia, enak untuk mengendahkan sesuatu yang bernilai, lalu membiarkan ia pudar dalam genggaman.


Aku masih terus mencuba. Aku harap kamu juga begitu.


Heh.

20090916

Kakiku di Dasar.

Bagaimana jika kamu berada di tempatku kini, untuk menentang arus perasaan yang membuak datang untuk dibelai?
Bagaimana jika kamu berada ditempatku kini, menagih semata-mata untuk satu senyuman abadi demi menyembuhkan segala rasa hitam sanubari?
Bagaimana jika kamu berada ditempatku kini, mengejar matahari dan memaksanya setia menanti agar bisa dinikmati si dia, cahaya pagi?

Bagaimana jika kamu berada ditempatku kini, diselubungi harapan agar kesemuanya masih sama keesokan hari?

dan

Bagaimana jika aku katakan, yang walau apa pun terjadi, tidak akan aku gadaikan...

Kerana, dengan lafaz yang penuh gundah tiada tenteram, masih tersenyum aku, mencari jalan untuk menghampiri.


Tiada apa yang masih tinggal? Mungkin itu jika aku berada ditempat kamu.



Heh.
eXTReMe Tracker