20080825

Pendengar setia yang tenang

Orang sekeliling akan bingit dan melenting apabila aku mula menyuarakan rasa paranoia aku terhadap sesuatu. Mereka minta aku bertenang dan tidak memberikan aura negatif atau membuat mimik muka yang kurang manis untuk dipandang orang, apabila aku paranoid. Tapi aku tetap paranoid.

Orang sekeliling akan mula mempersoalkan mengapa aku menunjukkan rasa kurang senang apabila terjumpa dengan individu-individu yang didekati oleh orang sekeliling aku, yang aku rasakan mempunyai potensi untuk membinasakan hubungan dua arah antara aku dan orang sekeliling. Aku diminta untuk bertenang(sekali lagi)dan meminta agar aku menghormati mereka. Ya aku mencuba tetapi sukar, kerana aku sekali lagi paranoid.

Namun, sekarang paranoid aku adalah satu realiti. Adakah aku masih lagi dipersalahkan?


Salahkah menjadi seorang yang paranoid? Itu satu kurniaan.


Sekarang, lihatlah apa sudah berlaku? Terjadi bukan atas kehendak dirimu?


Haih.


Aku hanya inginkan yang terbaik untuk kamu. Percayalah.

20080806

Lazat Berkrim

Aku,untuk dua minggu ini, secara tiba-tiba mengalami situasi mengidam dan berselera untuk makan. Makan secara berleluasa dan tidak terkawal. Perasaan untuk mencuba makanan baru juga semakin membuak-buak hinggakan aku sanggup meninggalkan kerja, hobi dan tanggungjawab yang lain semata-mata untuk menjejaki tempat-tempat makan yang enak dan meliurkan. Segala kemungkinan aku abaikan, demi memuaskan perasaan dan selera makan yang baru aku ini. Agak pelik kenapa baru sekarang ia muncul. Ya kenapa baru sekarang, setelah hampir 13 tahun aku menunggu. Apa sebenarnya yang akan berlaku, disebalik kenikmatan yang aku perolehi ini. Masih menunggu dengan wasapada sekiranya akan muncul secara mengejut, namun dengan sukacitanya aku maklumkan, tiada apa-apa.

Kenikmatan ini juga, mempunyai perwatakan yang kurang enak juga. Aku pernah perlu melayannya pada pukul 4 pagi, setelah enak tidur. Pernah juga aku menjadi buntu, tidak kreatif dan ribut akal kerana tidak melayan kenikmatan ini. Tidak beri peluang dan kesempatan langsung. Tapi apakan daya, aku menyukainya, dan aku tidak mahu merungut.Indahnya hidup ini sekarang. Tidak perlu bimbang tentang perihal-perihal lain. Tiada kerisauan. Hanya aku dan kenikmatan aku sahaja, kini.


Indahnya, sekali lagi.


Hanyalah harapan dan angan aku semuanya.


Pejam mata.

20080721

Soalan Permasalahan (Jawab yang Berkenaan)

*Adakah kamu seorang yang cepat melatah?

*Adakah kamu seorang yang menuding jari apabila sesuatu musibah menimpa?

*Adakah kamu seorang yang merasakan diri teraniaya terhadap sesuatu akibat daripada keputusan kamu sendiri?

*Adakah kamu seorang yang berhadapan dengan tekanan yang diwujudkan oleh orang sekelilingmu?

*Adakah kamu seorang yang hanya meminta maaf dan mengaku kesalahanmu hanya apabila kamu ketandusan akal untuk mengelakkan diri?

*Adakah kamu seorang yang penuh dengan alasan?

*Adakah kamu seorang yang merasakan berlakunya perubahan pada diri dan perilaku adalah disebabkan oleh orang sekeliling dan bukannya atas kerelaan?



Tidak perlu termenung menilai diri sendiri.Tidak mungkin wujud individu yang mempunyai ciri-ciri di atas.


Heh, mana mungkin.

20080720

Rombakan


Proses perubahan dan kehendak/keberanian untuk berubah adalah antara perkara yang sukar untuk diterima oleh individu yang sudah sebati dengan keadaan pada diri dan sekeliling. Situasi ini akan lebih rumit akibat individu mempunyai perspektif kesan-kesan buruk sekiranya proses perubahan berlaku, seterusnya menjadikan individu mengambil langkah drastik(tanpa memikirkan kemungkinan) mencegah dari wujudnya proses perubahan dan kehendak untuk berubah. Langkah drastik yang mampu merosakkan keharmonian atau merugikan masa depan diri.

Ketelusan nasihat dan perspektif pihak luar kebanyakkannya jarang untuk diterima walaupun tampak sahih. Keegoan sememangnya akan menjadi penghadang terhadap sebarang kuasa luar yang boleh menjana kepada perubahan. Faktor-faktor lain juga mampu menjadi sebahagian dari penghadang. Kamu pun tentu tahu.


Lihat sahaja negara kita untuk beberapa minggu yang lepas dan beberapa minggu yang mendatang.


Lihat sahaja sekeliling.


Lihat sahaja diri mereka.


Lihat sahaja diri kamu, terutamanya.

20080710

Gerenti Tenang



Kadang-kala, kita harus berusaha pada tahap yang tertinggi, untuk merealisasikan kehendak orang yang tersayang.

Semoga tercapai segala usaha.

20080709

Gadis 1000 tahun

Semalam, ketika aku sedang malas menyiapkan kerja, dengan dibantu dua orang rakan, salah seorang daripada mereka mula bercerita tentang gadis idamannya. Topik ini boleh dianggap topik perbualan kegemarannya, kerana setiap hari pasti akan ada cerita tentangnya. Aku hanya melayan mendengar dan sesekali mencelah membangkang atau memerli dia atas ciri-ciri gadis yang diidamkan. Pelbagai kriteria yang ditetapkan, sehinggakan aku merasa sampai ke tua pun belum tentu dia akan bersua dengan gadis idaman tersebut.

Di dalam perbualannya semalam, dia ada menyentuh tentang satu rangkap ayat yang akan digunakan terhadap gadis yang ingin didekati( dengan lebih rapat dan mesra). Aku bertanyakan tentang ayat tersebut, dan membuat mimik muka ingin tahu. Mereka tahu aku amat jahil dalam bab menunjukkan minat, mendekati, memulakan langkah pertama terhadap gadis. Aku lebih selesa sekiranya gadis tersebut membuat langkah yang pertama. Macam aku pula si gadis. Heh.
Apa boleh buat, aku dibesarkan di sekolah lelaki. Rakan aku terus berdiri di depan aku dan seorang lagi rakan, meninggalkan kerjanya, dengan penuh reaksi berkata,


"Aku ingin hidup seribu tahun, aku juga mahu engkau juga hidup seribu tahun agar dapat bersamaku, cuma satu yang aku pinta agar hidupku dikurangkan sehari kerana aku tidak rela untuk melihat engkau menghembuskan nafas yang terakhir"


Aku pula menjawab,


"Owh, kalau macam tu baguslah, perempuan tu pasti lega sebab masih mampu untuk berlaku curang dengan kau walaupun sehari"



Dia terus duduk sambung buat kerja.

20080706

Selimutkan dirimu, wahai rakan malam

Bagaimanakah rasa, sekiranya kita diberikan peluang dan cara untuk bertukar-tukar mimpi sesama sendiri. Mimpi-mimpi itu tidak boleh dicipta mengikut citarasa tetapi mimpi semulajadi yang telah berlaku, boleh dikongsi dan dialami oleh pihak yang lain. Seolah-olah berada di kedai sewa dvd untuk ditonton pada hujung minggu.

Menariknya, kita dapat merasai sesuatu mimpi milik individu lain dalam konteksnya. Sebagai contoh, walaupun terdapat 2 individu yang bermimpikan peristiwa yang sama, namun karektor, ekspresi, nilai mimpi itu masih subjektif dan pasti berbeza, kerana mimpi yang wujud adalah sebahagian daripada pengalaman dan pemahaman seseorang. Menjadi pihak kedua yang menikmati mimpi itu juga akan mewujudkan respon yang baru/berbeza berbanding empunya mimpi.
Mungkin ada individu yang lebih gemar kepada idea menerokai akal pihak lain berbanding merasai mimpi, tetapi melalui mimpi, kita tidak dapat mengawal keadaan yang berlaku kerana ianya di bawah paras sedar dan ini lebih tulen.


Aku ingin merasai kepedihan, kepiluan, kesunyian, keriangan, kegemilangan kamu.

Indah rasanya, mungkin.

20080701

Menara

Pengembaraan seorang penuntut seni di sesebuah institusi pengajian(awam) terutamanya pasti akan melalui suatu keadaan yang memerlukan individu itu berhadapan dengan reaksi/respon sekeliling terhadapnya. Negatif dan kurang enak selalunya. Jika dinilai reaksi ketika di institusi dan reaksi dunia luar, sebenarnya sama sahaja, namun polisi penerimaan dunia luar kebelakangan ini yang bersifat lebih mesra dan melulu berjaya menghasilkan rimbunan pengiat seni segera dari pelbagai arena. Heh.

Agak hairan memandangkan golongan yang berada di dalam institusi pengajian adalah mereka yang sedang melengkap/memahir/menjanakan diri secara sistematik dan ilmiah. Tetapi mengapa mentaliti mereka jauh berbeza dari yang sepatutnya. Tidak perlu diterangkan lebih lanjut, kamu tentu mengerti.

Pernah sekali, ketika sedang berjalan di kawasan yang penuh dengan manusia berpelajaran ini, rakan aku sempat bertanya. Dan aku menjawab.


*"Kenapa benda-benda camnie mesti terkena pada budak-budak belajar seni ehh?"


*"Sebab mereka ini masih tidak dapat melihat 'kecantikan' kita. Ada yang tak mahu melihat langsung"


*"Habis tu, nak buat macamana?"


*"Apalagi, janganlah kedekut nak tunjuk..."



Aku nak jadi seorang yang pemurah, senantiasa.



p/s: Hey kamu, entri ini bukan respon terhadap perbualan kita tempoh hari ya, heh.

20080623

J-T-R

Mujurlah tidak perlu lagi mendengar nama-nama seperti Christiano Ronaldo, Deco, Nistelrooy dan Kuyt untuk beberapa hari akan datang. Heh.

Zaman sekarang, taktik merehatkan pasukan utama selepas perlawanan kedua kumpulan adalah sangat tidak praktikal.

Cepat panas, cepat sejuknya.

Heh.

20080614

Pengeras

Orang Melayu memang penuh dengan kaedah perubatan tradisionalnya. Aku rasa boleh dikatakan setiap orang ada pengalaman tersendiri yang berkait dengan perubatan ini. Jika tidak dialami oleh diri sendiri, mungkin ahli keluarga atau rakan. Kebiasaannya, perubatan tradisional akan mempunyai hubungkait dengan alam spiritual/mistik, sesuatu perkara yang yang dikatakan tidak dapat dijelaskan melalui sains.

Dari apa yang aku amati, sekiranya topik ini keluar di dalam perbualan kosong, pasti akan keluar cerita-cerita pengalaman masing-masing dan cerita dari mulut ke mulut. (dari pengalaman aku, banyak lagi cerita dari mulut ke mulut berbanding pengalaman sendiri) Kadang-kala kes yang hampir sama, tetapi kaedah rawatan berbeza, mengikut 'doktor'. Perkara yang sinonim dalam topik ini lazimnya Universiti Utara Malaysia, bas yang tiada penumpang tetapi berat, Highland Towers, pergi berlima balik berenam, buluh atau benda-benda tajam, cawan retak, bermuntahkan rambut/paku, pukul 3 pagi, darah ayam hitam, lebuhraya Utara-Selatan dan banyak lagi. Cerita-cerita tidak kesemuanya mempunyai happy ending, samada dari aspek keadaan pesakit atau situasi itu sendiri.

Apabila situasi sebegini telah berlaku di dalam hidup seseorang, (samaada pengalaman sendiri atau cerita orang lain) akan wujud satu perspektif baru untuk menilai sesuatu peristiwa yang terjadi. Seseorang itu akan cenderung untuk menilai seterusnya mempercayai bahawa faktor terjadinya sesuatu peristiwa itu ada berhubungkait dengan alam mistik, dan jalan penyelesaian yang dipilih serta-merta juga berhubungkait.


Mungkin ada, tetapi tidak kesemuanya. Jangan terlalu taksub.

20080612

Lanskap Ibu Kota






20080611

Belok bila Suka

Setiap hari aku memandu, untuk pelbagai tujuan yang berbeza destinasi. Aku yakin kamu jua begitu. Sukar bagi aku untuk tidak memandu walau sehari, mungkin kerana hobi aku ialah memandu dan aku kurang selesa menjadi penumpang, terutamanya jika pemandu ialah seorang perempuan. Heh. Sebenarnya aku jarang berkesempatan untuk menjadi penumpang.

Satu perkara yang aku tidak faham dan kurang selesa, terjadi setiap hari adalah sikap pemandu lain yang kerap menukar lorong pada saat-saat akhir untuk masuk/keluar ke destinasi. Mengapa perlu menunggu sehingga jarak 50 meter (mahupun kurang) untuk menukar lorong? Kadang-kala tiada signal yang diberikan. Sayangnya, jika memiliki kereta yang mahal tetapi tidak tahu menggunakan lampu signal itu.

Lantas aku terfikir alasan yang munasabah untuk diguna pakai terhadap perilaku pemandu-pemandu sedemikian. Mereka mungkin rabun. Ya rabun dan berasa tidak selesa pula untuk memakai cermin mata ketika memandu. Sila ubah perangai. Rabun anda membahayakan pengguna jalanraya lain.

Atau,

Papan tanda jalanraya tidak efektif. Jika diperhatikan di Malaysia, lokasi papan-papan tanda jalanraya kebanyakkannya tidak strategik. Ada yang terletak betul-betul di susur masuk/keluar yang hanya dapat dilihat dari jarak 20 meter. Ada papan tanda yang terlindung dibelakang pohon-pohon pokok. Secara logik, apa yang tertanam/terpacak di situ dahulu, pokok atau papan tanda? Bagi pengguna yang berpandukan kepada peta, anda pasti sesat kerana sistem papan tanda jalanraya di Malaysia bukan secara berturutan, (maksud: destinasi hanya dipaparkan pada lokasi-lokasi yang dirasakan sesuai sahaja).


Mungkin perihal-perihal di atas antara faktor penyumbang kepada kadar kemalangan jalanraya di Malaysia, siapa tahu.

Tetapi....


Kerajaan Malaysia, kamu perlu tahu.

20080606

Tiga seringgit.

Ok, harga minyak dah naik. Semua dah tahu.

Satu perkara yang tidak semua orang tahu, mengapa apabila timbulnya berita sebegini yang berkait dengan kenaikan harga minyak dan barangan runcit, masyarakat akan cepat panik dan tergesa untuk menyelamatkan diri. Ya, perkara yang melibatkan wang ringgit tidak seharusnya dipandang remeh, namun begitu jua dengan kesan dari perilaku (panik) itu.

Mengapa perlu berpusu-pusu ke stesyen minyak semata-mata untuk membeli minyak dengan harga sebelum kenaikan? Adakah minyak yang dibeli mampu bertahan sehingga 20 tahun di dalam tangki kenderaan anda? Berebut-rebut sehingga terjadinya barisan yang panjang untuk masuk ke stesyen minyak sehingga mengakibatkan kesesakan jalanraya yang tidak normal kepada pengguna lain (yang juga sedia maklum tentang berita kenaikan harga)?


Apa sebenarnya niat anda, wahai orang-orang yang panik?

Anda hanya membantu memburukkan keadaan semalam.

20080602

Awas! Otak sempit di hadapan

*Apabila marah, manusia cenderung untuk melakukan sesuatu yang dirasakan mampu menyelesaikan segalanya

*Apabila sedih, manusia berusaha mengumpulkan segala kekuatan memori dan fizikal untuk mengharunginya

*Apabila tenteram, manusia sekerasnya untuk kekal dibuainya

*Apabila ghairah, manusia gelojoh untuk mencapai kehendaknya

*Apabila irihati, akal ditolak ketepi, hati mula beraksi


Hanya kewarasan/kematangan akal dan pengalaman yang membezakan antara kita semua.


Proses hidup, memang begini beb.

Lalalala...

20080527

Walaupun semuanya serba tidak kena, namun kami masih ceria, seperti biasa

Sejak beberapa minggu yang lepas, aku secara serius semakin seronok dan ghairah dalam 'menilik' masa depan dan menetapkan satu kelas tersendiri untuk menjustifikasikan kejayaan. Keseronokan aku juga sebenarnya berlaku kepada beberapa rakan rapat aku, yang sedar keseronokan ini tidak boleh dilewatkan perlaksaannya. Kami bimbang, kealpaan mampu membunuh segala kecekalan darah muda ini untuk menentang kehidupan. Leka tanpa waspada hanya mengundang kekecewaan tanpa jasad untuk satu jangka masa yang panjang.

Ok, biarkannya diselesaikan oleh aku dan rakan-rakanku.

Aku baru-baru ini juga sempat bersama menikmati kejayaan(berdasarkan justifikasi masing-masing) yang telah dikecapi oleh beberapa individu sekelilingku. Walaupun kami berbeza akal dari segi kelas kejayaan, namun bagi aku, mereka membuktikan bahawa muda bukan beerti mentah dan tidak mampu memimpin hidup. Persetankan segala pemikiran negatif luaran yang hanya mampu meludah racun kata yang ampuh.


Kehidupan ini, memerlukan satu atau mungkin lebih orgasm untuk meletakkan diri kita pada satu kelas yang tertentu. Bukan kelas atasan atau pertengahan yang tergambar di dalam benak akal kamu. Itu jauh sekali terpesong. Kelas yang aku maksudkan adalah kelas tentang kualitinya perjalanan/cabaran/progresif hidup kita. Orgasm mampu menjanakan lagi semangat untuk melebarkan kejayaan anda pada tahap yang tertinggi.

Bagaimana untuk mencari/mencipta/menetapkan kejayaan, itu terpulang pada diri sendiri, namun bagi aku, ada dua perkara yang akan menjadi persamaan kepada semua.


Setiap kejayaan tidak akan wujud tanpa adanya angan-angan/imaginasi.


Setiap kejayaan hanya akan bermula apabila adanya kegagalan.


Aku masih lagi gagal dan jauh untuk mengecapi kejayaan. Tidak mengapa, kerana kegagalan aku lebih bernilai dari kejayaan-kejayaan kamu.

20080523

Concealer Hari Minggu

Kebiasaannya, hujung minggu akan berakhir dengan kejayaan menghabiskan satu hari suntuk dengan pelbagai aktiviti sama ada normal atau tidak, spontan atau terancang.

Tetapi sekiranya,

Kamu buntu untuk memulakan hujung minggu, tersekat dan terpinga-pinga, ada beberapa gerak langkah yang mungkin boleh membantu.


*******

-hantar sms secara rawak kepada beberapa orang , sebegini :- ehh gile cun sial idea/plan tu, jom lah aku tak sabar ni. Pasti ada yang membalas.

-cuba pergi ke tempat-tempat yang selalu dikunjungi atau menjadi mes lepak rakan-rakan. Sekiranya terserempak, serta merta berkata "Damn, what a coincidence!". Terus sertai mereka.

-
beli 10 dvd filem yang terdiri dari 5 dvd genre kegemaran dan 5 dvd bukan genre kegemaran. Tonton yang bukan genre kegemaran dahulu.

-buat lawatan tak diundang ke rumah rakan. Bawa baju kotor dan beri alasan kepadanya "sorry lah, washing machine aku rosak, nak hantar laundry takut tak sempat siap, esok nak pakai." Beberapa jam sudah di dalam tangan.


*******

Jika kamu pernah mencuba seperti di atas, tolonglah buat/perbaiki sesuatu dengan hidup kamu. Belum terlambat.

Nah, sedikit jalan keluar untuk kamu yang tersekat pada hujung minggu ini.



Rumit itu Simple #2


"Kadang-kala, jalan terakhir untuk menunjukan keprihatinan adalah dengan mencurahkan sedikit kekerasan."

20080513

Siri Sakit Otak # 1

Rumit itu Simple #1

Ingat ini.


"The only good man is a dead man"


Rumit?

20080511

Kadangkala aku terfikir akan kamu lebih bergema daripada bunyi-bunyian di sekelilingku ini

Beberapa tahun lepas, ketika aku berusaha menyiapkan kajian seni di dalam studio, datang seorang rakan yang cuba membunuh masa terluangnya dengan melengahkan kerja aku. Kebiasaannya, dia akan datang bersama helaian sketches-nya, meminta aku membantunya merobohkan blok halangan idea. Seperti biasa juga aku, hanya akan berkata,

"Apa sebenarnya yang kau nak buat "

atau

"Betul ke ini kau?"

Tanpa menjawab, serta-merta soalan aku itu akan menjadi gerak kerja/tangga/tali untuk melepasi blok halangan ideanya. Situasi ini juga berlaku kepada aku, dan soalan yang sama akan terpacul dari mulutnya. Beruntung mempunyai rakan yang faham dan tahu apa perlu dibuat ketika diperlukan, mujurlah tidak menjadi seorang yang prejudis dan membuat keputusan/penilaian melulu berdasarkan aduan lisan.



Tetapi hari itu, tidak seperti biasa.


Dia datang, tidak mengusung sketches, tetapi di tangan kanannya memegang sebatang rokok manakala tangan kiri memegang sebatang marker hitam. Dia duduk di hujung port aku sambil menyedut dan menghembuskan asap. Aku biarkan sahaja karenahnya, lambat laun pasti dia akan menghampiri aku. Tiba-tiba dia dia bersuara,

"Kau nak jadi apa nanti?"


"Nak jadi apa?"


"Yelah, bila dah keluar dari bilik ini, universiti ini, kau nak jadi apa?"


"Hmm, aku nak jadi aku lah"


"Yelah, itu aku dah tahu, spesifik la sket"


"Hmm, aku nak jadi manusia yang berfungsi pada masa dan tempat yang betul, bukan semata-mata kerana kepentingan lain, kot......"


Dia terus mengacukan marker ke arahku


"Kau jangan jadi macam marker ini, hanya dibasahi dakwat apabila dibuka tudung dan diletakkan pada permukaan. Itu boneka!"


Kemudian dia mengacukan rokok pula ke arahku


"Biar jadi macam rokok ini, apabila dibakar terus bebas bernyala dan berasap biarpun tidak disedut. Tiada sekatan"


"Owh ok. Kalau camtu bak meh rokok kau tu biar ia bernyala dan berasap kat bibir aku plak"


eXTReMe Tracker