20090913

Ketika hembusan berlalu.


Di dalam proses hidup, aku percaya kita semua, sering tersalah anggap tentang sesuatu perkara yang dinamakan kemuncak hidup. Kita akan cepat terjerumus untuk merasa yakin bahawa kita telah berjaya menawan atau sedang didampingi ia. Kemuncak hidup juga secara bulat-bulat berjaya menukarkan emosi rasa seseorang ke arah yang lebih ceria, berkeyakinan dan enak ke tahap yang tertinggi.

Dan kesemua itu terjadi akibat dari mentaliti kamu yang secara gelojoh, yakin tentang kejayaan kamu sampai ke kemuncak hidup.

Bagaimana pula jika ianya hanya bersifat sementara, yakni ditarik balik, dan kamu melayang jatuh ke dasar permulaan?

Apa reaksi kamu? Apa yang akan dilancarkan oleh bibirmu? Sejauh mana hatimu mampu mengubati sembilu? Dan apa kata akalmu? Pasti ribut bukan?

Aku berundur beberapa langkah, sebelum era kejatuhan kamu, dan cuba kita lihat bagaimana perilaku kamu. Jika dinilai, rasanya tiada beza antara kita semua, di dalam menggayakan perilaku tersebut. Hampir sama, bagi kesemua manusia. Kepura-puraan terhadap apa yang dinyatakan sebagai realiti, jelas terpampang pada kita dan kamu, dan tiada sebab untuk kita mencari alasan menafikan perihal tersebut. Kita sememangnya 'berpura-pura' yang tiada gunanya.

Ya, kita adalah manusia yang terhad pengamatan terhadap kewujudan masa hadapan, tetapi itu bukanlah suatu alasan yang wajar diluncurkan oleh akalmu.

Belajar dari kesilapan adalah 'cogankata' usang yang mampu diluncurkan sewenang-wenangnya oleh sesiapa sahaja kepada kita, yang berakhir dengan kita bersendirian menghadapi kesan kejatuhan itu. Adakah dengan merasakan kamu sudah tidak mempunyai apa-apa lagi yang bernilai untuk dipertaruhkan nyawamu, jalan penyelesaian yang mudah adalah dengan melepaskan segala-galanya yang setia seiring denganmu?

Janganlah begitu.

Apa yang pernah, sedang dan yang akan berlaku, kesemuanya adalah proses hidup kamu. Tiada ketetapan yang telah ditentukan untuk kamu menghadapi ia. Seorang yang bijak pandai seperti kamu, tentu tahu bagaimana sukarnya meniti masa lampau yang penuh rintangan melulu, yang kadangkala tidak dapat diterima akal oleh pihak lain. Tetapi kamu mampu, dan kamu membuktikan pada sekelilingmu, bahawasanya kamu telah mampu untuk menawan dan menempeleng rintangan tersebut, walaupun ia sukar. Manisnya kejayaan tersebut, aku yakin, tak tercapai bibirmu untuk mengambarkan ia. Kejujuranmu telah menutupi segala ketempangan yang ada pada 'nyawamu' sekaligus membuat 'dia' benar-benar layu tersungkur, lemas padamu. Ini adalah sesuatu yang tidak akan dapat ditukar-ganti, bukankah begitu?


Untuk kesemua peluh lelah yang pernah kamu hadapi ini, akan berbaloi untuk kamu mengkhianati kejujuranmu disebabkan 'kejatuhanmu' itu? Mengapa kamu ingin membiarkan dirimu menjadi sesuatu yang lemah, sedangkan kamu pada suatu ketika dahulu, merupakan seorang insan yang pernah menjadi awan kepada 'nyawamu' itu? Mengapa tidak saja ditebus segala saat dahulu, ketika kamu masih tegak berdiri, biarkan saat-saat itu mendampingimu, setia bersamamu agar kamu tidak lagi semakin jatuh melayang tanpa dihalang.


Teras hidupmu kini, yang hanya mahu berlingkar mengelilingi api-api yang ingin marak, adalah bukan suatu yang sukar untuk dikecapi. Aku yakin, dengan kemampuanmu, pelbagai api telah berjaya dipadamkan, malahan mungkin ada hanya dengan satu hembusan lembutmu. Namun, percayalah kataku juga, bahawasanya kelak pasti muncul, sekecil-kecil api yang longlai dan halus, dipandang remeh olehmu tetapi akan berjaya membiarkan dirimu kehangatan di dalamnya, lalu membakar segala kekerasan dan keberanianmu.

Biarkan segala api-api yang terpadam menabur segala hasutan hangit kepada dunia, biarkan segalanya menjadi debu yang tiada nilai, sama seperti niat mereka pada mulanya. Kejahilan mereka terhadap dirimu terlalu nyata, mereka hanyalah bagaikan kuman di udara, dan usahlah dikhuatir tentang kesannya. Abaikan.

Bingkas bangun, dan segeralah kembali mencari langkahmu. Jangan biarkan dunia menunggumu bangkit dari kejatuhan kemuncak hidupmu ini. Tiada apa yang salah sebelum ini dalam hidupmu, kerana ini adalah proses hidup. Sekerasnya kita berhak untuk merasa gembira, selayak itu juga untuk kita mengenali kegagalan.


Oleh itu, silalah bangun, senyum dan mulakan langkahmu kembali.
Kamu ingin tahu erti sebenar bebasnya kebebasan, bukankah begitu?


Heh.

3 comments:

-Aku- said...

yes u are rite!!

-Aku- said...
This comment has been removed by the author.
-Aku- said...
This comment has been removed by the author.
eXTReMe Tracker